PRN Sabah: Gabungan Turun Padang & Teknologi Perkuat UMNO Beaufort

BEAUFORT, 4 Sept – UMNO Bahagian Beaufort menzahirkan keyakinan penuh bahawa rakyat akan terus memberikan kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal tiba.

Ketua UMNO Bahagiannya, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, keyakinan itu bukan hadir secara kosong sebaliknya hasil daripada kerja keras dan komitmen berterusan jentera parti di semua peringkat yang sentiasa mendekati rakyat.

“Saya yakin sepenuhnya dan kami berkerja keras untuk mendapatkan keyakinan itu. Apa yang lebih penting, kita turun padang, dengar keluhan rakyat serta berusaha mencari jalan penyelesaian kepada masalah mereka,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut beliau, UMNO Beaufort sentiasa menekankan pendekatan politik yang matang dengan meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai asas perjuangan.

Hal ini katanya terbukti apabila pelbagai program berbentuk kebajikan, pendidikan, ekonomi dan pembangunan komuniti terus digerakkan sejak sekian lama.

“Keyakinan rakyat kepada UMNO tidak datang dengan mudah, ia perlu dipupuk dengan keikhlasan, kerja berpasukan, dan sikap konsisten kita untuk menunaikan amanah.

“Insya-Allah, dengan sokongan padu jentera parti, kerjasama akar umbi dan doa rakyat, Beaufort akan menjadi salah satu kubu kuat UMNO dalam PRN Sabah nanti,” ujar beliau lagi.

Awang Aslee turut mengingatkan semua jentera agar mengekalkan semangat juang tinggi, tidak leka dan memastikan kesiapsiagaan parti berada pada tahap terbaik menjelang PRN, termasuk penggunaan teknologi dalam memperkemas gerak kerja kempen.

“Kita kini bergerak dengan lebih sistematik, menggunakan teknologi bagi mengurus data sokongan, mempercepatkan komunikasi antara jentera serta menyampaikan maklumat kepada rakyat dengan lebih tepat dan pantas.

“Pendekatan digital ini melengkapkan usaha tradisi turun padang kita. Gabungan kedua-duanya menjadikan UMNO Beaufort lebih bersedia berdepan cabaran PRN Sabah,” katanya.

“PRN ini juga menjadi medan penting untuk mengukur keupayaan kita dalam merebut sokongan rakyat, namun saya yakin bahawa dengan UMNO/BN maka tekad memastikan perjuangan demi masyarakat serta masa depan negeri ini terus bersemarak.

Ujarnya lagi, pendekatan secara konvensional tetap diteruskan dengan menyalurkan sumbangan dan bantuan semampu yang boleh, khususnya kepada mereka yang ditimpa musibah seperti sakit, kematian, serta dalam majlis-majlis perkahwinan di kawasan.

“Usaha sebegini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban rakyat dan memperkukuh hubungan silaturrahim antara parti dengan masyarakat,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79