Semangat Wanita UMNO Sabah Jadi Pemangkin Kekuatan Parti Depani PRN
KUALA LUMPUR, 4 Sept – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yakin jentera Wanita UMNO Sabah mampu memainkan peranan penting sebagai penggerak utama bagi memastikan UMNO terus kekal relevan di hati rakyat, meskipun berdepan suasana politik yang penuh cabaran.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat percaya dengan perancangan yang tersusun dan semangat kesatuan UMNO/Barisan Nasional (BN) itu mampu meraih kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Dengan strategi yang teratur, kesatuan yang kukuh dan doa yang berterusan, insya-Allah kejayaan itu akan menjadi milik kita bersama.
“Saya amat menghargai komitmen, pengorbanan dan kesungguhan saf kepimpinan serta seluruh jentera Wanita UMNO Negeri Sabah.
“Semoga Allah swt terus memberi kekuatan, keberkatan dan kemenangan kepada perjuangan kita demi rakyat dan negeri Sabah tercinta,” katanya.
Noraini berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook berkongsi perjumpaan beliau bersama kepimpinan Wanita UMNO Sabah, semalam.
Mengulas berkenaan pertemuan tersebut, beliau berkata ia dimanfaatkan sebaiknya sebagai persiapan mendepani PRN kelak.
“Berpeluang bertemu dengan kepimpinan Wanita UMNO Negeri Sabah. Pertemuan ini benar-benar meniupkan semangat perjuangan, apatah lagi kita maklum bahawa PRN Sabah sudah semakin hampir.
“Wanita UMNO adalah nadi dan tulang belakang kekuatan parti. Kami lah yang sentiasa berada di lapangan, mendekati rakyat dari rumah ke rumah, mendengar denyut nadi masyarakat dan menyampaikan mesej perjuangan dengan penuh kasih sayang serta keikhlasan.
“Kekuatan Wanita UMNO bukan hanya pada bilangan, tetapi pada semangat juang yang tidak pernah luntur, disiplin yang tinggi dan kesungguhan yang luar biasa,” ujar beliau. – UMNO Online