PPRS Ringankan Beban, 21 Keluarga Di Pasir Salak Terima Manfaat – Khairul Azwan

PASIR SALAK, 5 Sept – Seramai 21 penerima Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) di kawasan Parlimen Pasir Salak menerima manfaat masing-masing menerusi majlis penyampaian yang disempurnakan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun.

Majlis yang berlangsung di Pejabat UMNO Bahagian Pasir Salak itu turut disertai dengan penyerahan sumbangan pendidikan oleh Pegawai Khas Menteri Besar Perak DUN Kampong Gajah.

Khairul Azwan berkata, PPRS yang dilaksanakan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) merupakan penjenamaan semula Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dengan tujuan menyediakan bantuan perumahan kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah.

“Melalui skim ini, penerima layak mendapat bantuan bina baharu mahupun baik pulih rumah. Alhamdulillah, program ini amat membantu dalam meringankan beban rakyat,” katanya kepada UMNO-Online.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri KKDW yang juga Timbalan Perdana Menteri,  Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas kelulusan bantuan berkenaan serta menegaskan komitmen kerajaan untuk terus menjaga kebajikan rakyat.

“Insya-Allah, kerajaan akan terus komited dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara,” tambahnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO