BN Sedia Kembalikan Legasi Pembangunan Sabah – Bung Moktar
KOTA KINABALU, 15 Ogos – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan Barisan Nasional (BN) mempunyai rekod cemerlang dan pengalaman luas membangunkan negeri Sabah, justeru yakin rakyat akan kembali memberi mandat bagi mengembalikan maruah dan legasi pembangunan negeri itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.
Menurut beliau, BN dan UMNO telah meninggalkan sejarah panjang di Sabah sebagai parti yang membawa perubahan besar sejak mengambil alih pentadbirannya.
“Sebelum BN mentadbir, Sabah ketinggalan jauh di bawah pentadbiran parti-parti tempatan namun apabila BN mengambil alih, bermulalah arus pembangunan iaitu jalan raya, bekalan elektrik, air bersih. Tetapi selepas kita kalah, masalah-masalah ini kembali timbul. Kalau tidak terkandas pada 2018, saya rasa isu air dan jalan raya sudah selesai,” katanya dalam wawancara bersama UMNO Online.
Bung Moktar yang jUga Ahli Parlimen Kinabatangan menyatakan bahawa pembangunan pesat pada era BN termasuk di Kinabatangan digerakkan dengan sokongan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Namun selepas BN tumbang, katanya, projek-projek itu terbengkalai.
“Kita ingin meyakinkan rakyat bahawa dengan pengalaman dan keikhlasan pemimpin UMNO-BN, kita boleh mengembalikan maruah Sabah. Kita mampu mengeluarkan lapan daerah termiskin dan menjadikan Sabah bukan lagi negeri termundur di Malaysia,” ujarnya.
Mengulas perbandingan pentadbiran antara parti-parti yang pernah mentadbir Sabah, Bung berkata semua parti termasuk PBS, GRS, WARISAN dan BN sudah diberi peluang.
“Rakyat ada pilihan. Mana satu parti yang betul-betul membela nasib rakyat? Kalau ikut rekod, memang BN. Tetapi rekod sahaja tidak cukup untuk menang kerana kita perlu yakinkan rakyat bahawa kita boleh mengubah negeri ini ke arah yang leBih baik dan maju.
“Sabah mempunyai sumber hasil yang kaya tetapi tidak dimanfaatkan. Keadaan ini merugikan negeri dan rakyat. Kita akan pastikan ia tidak berulang,” tegasnya.
Bung menegaskan bahawa beliau tidak hairan dengan tindakan pihak lawan yang seringkali memburukkan BN/UMNO kerana ia lumrah politik.
“Dalam politik, macam-macam boleh berlaku. Sebab itu kita kena ada persediaan. Kalau mereka memburukkan kita, kita hapuskan isu itu, kita maklumkan kepada rakyat fakta sebenar. Tuduhan-tuduhan yang tidak masuk akal ini hanya untuk memburukkan kita, dan kita tahu bagaimana menempatkan diri berdepan isu sebegini,” jelasnya.
Mengulas slogan “Sabah Maju Jaya” yang dilaungkan kerajaan GRS, Bung menyifatkannya bahawa Sabah belum mencapai kemajuan yang sebenar dan masih banyak yang ktinggalan.
“Data tidak menipu. Jalan raya di Sabah teruk, berlubang, tetapi diletak papan tanda ‘Sabah Maju Jaya’. Ini sekadar provokasi untuk beri gambaran kononnya Sabah telah dimajukan. Mereka juga gemar membuat majlis pecah tanah berulang kali untuk projek yang sama. Contohnya 15 Ogos ini di Kinabatangan akan ada projek pecah tanah bandar baru sedangkan yang sebenarnya ia sudah kita rancang dahulu tetapi tergendala akibat pertukaran kerajaan,” katanya.
Bung turut memberi contoh projek Pan Borneo yang masih belum siap sepenuhnya.
“Di Kinabatangan, Pan Borneo mungkin tiga hingga empat tahun lagi baru siap. Bermakna masih panjang masa untuk menentukan hala tuju projek-projek yang dirancang,” katanya.
Menurut Bung, BN adalah parti yang adil kepada semua pihak tanpa mengira kaum dan agama.
“BN walaupun dipimpin oleh Melayu dan Islam, tetap membantu semua kaum. Jika ada bantuan di kampung, sama ada Islam atau bukan Islam, penyokong atau bukan penyokong, kita tetap bantu. Ini berbeza dengan parti lain apbila memerintah, hanya jaga kaum sendiri. Ini menimbulkan ketidakpuasan hati dan akhirnya kerajaan bertukar. UMNO perlu kembali menjadi ketua kerana kita adil kepada semua,” tegasnya.
Bung mengingatkan bahawa kemenangan pilihan raya bukan jaminan kekal berkuasa jika janji tidak ditunaikan.
“Selepas menang, BN mesti konsisten melakukan perubahan kepada rakyat. Mana-mana parti yang tidak kembali kepada rakyat selepas menang akan digulingkan pada pilihan raya akan datang. Kalau UMNO mahu survive untuk 20-30 tahun lagi, pemimpin mesti sedar iaitu kembali kepada rakyat, selesaikan masalah rakyat, bantu rakyat,” katanya.
Bung juga menyeru jentera BN supaya mula bergerak dari sekarang dengan strategi dan pendekatan baharu.
“Calon penting, parti penting, tetapi jentera akar umbi yang bekerja ketika kempen dan hari mengundi adalah penentu kemenangan. Kepada ahli UMNO, bekerjasamalah sebagai satu pasukan, jangan berpecah. UMNO kuat, tetapi akan lemah jika berpecah.
“Kepada rakyat, fikirkan masa depan yang lebih baik. Kami di UMNO/BN bersama rakan-rakan sudah bersedia dengan tawaran-tawaran baharu yang mampu kami tunaikan. Saya beri jaminan selepas menang nanti, kita akan ubah nasib rakyat dan kerajaan negeri Sabah,” katanya lagi. – UMNO Online