Wan Rosdy Bangga Anak Pahang Raih Pengiktirafan Di World Summit Awards 2026

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail meluahkan keterujaan beliau apabila anak muda negeri itu menerima pengiktirafan antarabangsa menerusi World Summit Awards (WSA) 2026 di Vienna, Austria.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO menyifatkan pencapaian Nadzrul Hanif Ahmad Nadzer suatu yang membanggakan selepas platform Semart yang diasaskannya berjaya menerima pengiktirafan tersebut.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Nadzrul Hanif Ahmad Nadzer atas kejayaan membanggakan apabila platform Semart yang diasaskannya berjaya menerima pengiktirafan antarabangsa menerusi World Summit Awards (WSA) 2026 di Vienna, Austria.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa anak-anak Pahang mempunyai bakat dan kemampuan untuk bersaing di peringkat dunia.

“Ia juga menunjukkan bahawa usaha, ilmu dan keberanian untuk mencuba sesuatu yang baharu mampu membawa kejayaan yang besar,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Wan Rosdy dalam pada itu turut bersyukur kerana kejayaan ini lahir daripada ekosistem pembangunan bakat dan keusahawanan yang dibangunkan oleh Yayasan Pahang menerusi Program Pahang Innovative Startup Accelerator (PISA).

“Semoga pencapaian ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda Pahang untuk terus berusaha, berinovasi dan mengejar cita-cita selaras dengan semangat Aspirasi Pahang 1st,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO