Inisiatif Bawa Nafas Baharu Untuk Jeram Padang, Terima Kasih KKDW
JEMPOL, 28 Julai – Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) terus membawa harapan baharu kepada rakyat di kawasan luar bandar termasuklah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang.
Sehubungan itu, ADUN Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atas kelulusan pelaksanaan program itu di kawasannya.
“Inisiatif ini memberi nafas baharu dan harapan kepada rakyat yang memerlukan, seiring tekad kita untuk mensejahterakan komuniti luar bandar,” katanya kepada UMNO Online.
Terdahulu beliau telah meninjau dua buah rumah yang telah siap dibina di bawah program berkenaan.
Maklumnya, program PPRS ini dilaksanakan oleh Giat MARA Sdn. Bhd. sebagai agensi pelaksana, dengan setiap unit rumah bernilai RM79,000.00.
Terdahulu, dua buah rumah baharu berjaya disiapkan sepenuhnya di DUN terbabit yang memberikan keceriaan kepada mereka yang dibantu.
Antara penerima manfaat program ini ialah Mohd Misman Ramlan dan Roslin Abd Rahman.
Mohd Zaidy turut menzahirkan penghargaan kepada kontraktor yang telah menyiapkan pembinaan rumah tersebut mengikut jadual serta mengekalkan mutu kerja yang baik.
Katanya, program ini merupakan antara inisiatif berterusan kerajaan dalam memperkasa kesejahteraan rakyat luar bandar selaras dengan aspirasi MADANI. – UMNO Online