Perjuangan UMNO Terus Konsisten, Tohmahan Liar Sekadar Persepsi

GEORGE TOWN, 27 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii, menegaskan bahawa UMNO kekal konsisten dalam perjuangan sehingga ke hari ini demi agama, bangsa dan negara.

Berucap sempena Majlis Perasmian Serentak Persidangan Perwakilan Tahunan UMNO Bahagian Tanjong, beliau mengimbas semula cabaran selepas kekalahan UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, di mana ramai pemimpin dan ahli parti tetap teruskan perjuangan walaupun ada sebahagiannya yang lari.

“Kita kalah pada 2018, tapi kita tetap istiqamah. Mesyuarat pun guna duit sendiri. Kita bukan masuk parti ini sebab nak jadi menteri, tapi sebab nak bawa suara orang Melayu, tak kira di mana pun kita berada,” tegasnya.

Turut serta pada majlis perasmian berkenaan Ketua UMNO Bahagian Tanjong, Datuk Jeffri Salim dan perwakilan serta pimpinan UMNO yang lain.

Razlan turut menegaskan bahawa penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan hari ini bukanlah kosong, tetapi berdasarkan perjanjian yang dipersetujui bersama dan pelbagai dakwaan liar adalah sekadar tohmahan semata-mata.

“Tohmahan termasuklah kononnya UMNO jual bangsa itu hanya mainan politik. Kita masuk kerajaan berdasarkan ikatan perjanjian. Dalam PRK (Pilihan Raya Kecil) DUN (Dewan Undangan Negeri) Nenggiri (Kelantan) dan DUN Mahkota (Johor), BN menang kerana rakyat tahu kita masih pegang prinsip,” katanya.

Beliau turut menyeru seluruh ahli parti untuk memperkukuh penyatuan dalaman UMNO sebagai asas kejayaan parti menjelang pilihan raya akan datang.

“UMNO kena bersatu. Jangan berpecah sesama sendiri. Tahniah kepada UMNO Tanjong kerana berjaya kekalkan keharmonian dan kerjasama dalam bahagian,” ujarnya. – UMNO ONLINE

 

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79