UMNO Kuala Nerus Bangkit Cipta Gelombang Baharu

KUALA NERUS, 27 Julai – Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menegaskan bahawa kekalahan pada pilihan raya yang lalu bukan penamat kepada perjuangan parti, sebaliknya menjadi titik permulaan untuk kebangkitan semula.

Menurut beliau, UMNO pernah memimpin dan membina negara, dan kini tiba masanya untuk mencetuskan gelombang baharu dengan semangat serta pendekatan yang lebih segar.

“Kita pernah memimpin. Kita pernah membina dan Insya-Allah, kita akan bangkit semula. Inilah masanya untuk mencipta gelombang baharu dengan semangat baru, pendekatan baru dan kesatuan yang lebih jitu. Susah senang, kita tetap bersama.

“Walaupun kita tewas di semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), itu bukan noktah perjuangan. Sebaliknya, ia adalah pemangkin untuk kita menyusun semula kekuatan. Kita bukan parti yang hanya hadir ketika menang, kita adalah parti yang kekal berdiri ketika diuji.

“UMNO akan terus mara. Dengan keyakinan, kesetiaan dan kekuatan akar umbi, kita akan kembali memimpin demi agama, bangsa dan negara. Kita tidak akan sesekali gentar dengan cabaran, malah menjadikannya sebagai pemangkin untuk bangkit lebih gagah. Inilah masa untuk kita bersatu, melangkah bersama dan mengembalikan kegemilangan UMNO seperti dahulu,” katanya dalam ucapan di Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus, di Dewan Quinara Al- Safir Resort, Sabtu.

Seterusnya, beliau harap agar seluruh ahli UMNO terus bersatu dan tidak berputus asa dalam mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti.

Mengulas lanjut kata bekas Menteri Besar Terengganu itu lagi, UMNO Bahagian Kuala Nerus sentiasa menghargai yang lama dan menyantuni yang baharu dalam usaha memperkukuh parti dan mempererat hubungan bersama masyarakat.

“UMNO Kuala Nerus sentiasa menghargai yang lama dan menyantuni yang baharu. Sebagai tanda penghormatan kepada jasa besar tokoh tempatan dalam usaha memperkukuh parti dan mempererat hubungan dalam masyarakat.

“Sebagai tanda penghormatan kepada jasa besar seorang tokoh tempatan, UMNO Kuala Nerus sebulat suara membawa usul menamakan semula Sekolah Menengah Kebangsaan dan Sekolah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir kepada Sekolah Menengah Kebangsaan dan Sekolah Kebangsaan Datuk Haji Abdul Rashid Ngah,” katanya.

Ujarnya, usul ini bertujuan mengenang sumbangan besar Allahyarham dalam pembangunan masyarakat dan pendidikan di kawasan Seberang Takir, sekaligus menjadi inspirasi kepada generasi baharu.

Turut hadir, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Wanita UMNO Negeri Terengganu, Toh Puan Zaiton Mat Amin, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Abdul Rahin Mohd Said serta pemimpin-pemimpin empat peringkat. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79