Perpaduan, Persefahaman Ramuan Penting Untuk Menang PRU ke-16

TEMERLOH, 27 Julai – Perpaduan dan persefahaman merupakan ramuan yang penting untuk menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16, kata Ketua UMNO Bahagian Temerloh, Datuk Ridzuan Hazimin Ramli.

Jelasnya, kekalahan UMNO/Barisan Nasional (BN) di semua kerusi yang ditandingi di Temerloh pada PRU yang lalu memberikan kesedaran kepada mereka untuk bangkit semula.

“Di Temerloh ini pada PRU yang lalu kami tewas di semua kerusi ditandingi. Satu Parlimen, tiga Dewan Undangan Negeri (DUN). UMNO/BN bertanding tiga kerusi. Kita tewas semua sekali. Ya, kami sedar dan sentiasa ingatkan kepada para pendukung parti bahawa inilah masa untuk bangkit semula.

“Perbetulkan yang mana salah, kalau kurang kita tambah… kerana sudah pasti usaha yang kita buat secara tuntas, konsisten dan bersungguh-sungguh… janji Allah itu barangsiapa yang berusaha dia akan mendapatnya.

“PRU ke-15 telah hampir tiga tahun berlalu. Kita hanya ada tempoh sekitar dua tahun sahaja untuk menghadapi PRU ke-16. Tidak lama pun dua tahun. Jadi, sejauh manakah kita telah bersedia untuk menghadapi PRU ke-16 ini?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Temerloh pada Sabtu.

Ujarnya, semua pemimpin di peringkat atasan bahagian dan akar umbi perlu menggembleng tenaga bersama-sama untuk merancang gerak kerja bagi membolehkan UMNO/BN menawan semula kerusi di Kawasan tersebut.

“Bagaimanakah dengan gerak kerja kita? Bagaimanakah sokongan kepada rakan-rakan yang telah melaksanakan gerak kerja ini? Apa yang paling penting sekali ramuan untuk kita berjaya, menang pilihan raya adalah perpaduan, persefahaman dan sifat toleransi. Baru kita boleh berjaya.

“Kalau masih ada lagi ingin membuat onar, memecah-belah, berbicara soal nak bertanding untuk jawatan bahagian pada pemilihan parti akan datang dan membuat gerakan untuk kepentingan peribadi… kalah kita. Tidak salah untuk merancang tetapi lebih baik kita rancang bagaimana nak menang pilihan raya,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar sifat kebersamaan dapat diterapkan dan dikekalkan serta ditambah baik dari semasa ke semasa.

“Saya selaku Ketua UMNO Bahagian Temerloh bersama-sama barisan kepimpinan dan kita harapkan juga daripada akar umbi… kita mengambil pendekatan yang inklusif. Kebersamaan, kita santuni dan bantu semua. Tidak ada yang dipinggirkan dan diketepikan.

“Jadi, Insya-Allah kita harapkan sifat sebegini yang ada pada kita semua di bahagian Temerloh ini dapat dikekalkan dan tambah baik lagi dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Hadir sama Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin, Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Shahar Abdullah dan para pemimpin UMNO Bahagian Temerloh empat peringkat. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79