Depani PRU16: Penyertaan Rakyat Bersama UMNO Penting – Azalina

TEMERLOH, 26 Julai – Penyertaan rakyat bersama UMNO penting untuk memastikan parti ini menang pada Pilihan raya Umum (PRU) ke-16, kata Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata, sejarah membuktikan bahawa pihak lawan sentiasa cuba untuk mematikan UMNO namun usaha tersebut tidak berjaya.

“Masalah kita sekarang ini, ramai yang cuba mematikan UMNO/Barisan Nasional (BN) namun usaha mereka tidak berjaya. Sejak dari tahun 1959, pilihan raya pertama selepas merdeka sehingga sekarang.

“Sehingga pada akhirnya kita kalah pada tahun 2018. Sebenarnya kita pun tak sangka boleh kalah ketika zaman Datuk Seri Najib sebab apa yang dilakukan oleh UMNO/BN pada ketika itu… rakyat diutamakan. Kemudian pada PRU ke-15 kita hanya dapat 30 kerusi.

“Sekarang ini kita akan berhadapan dengan PRU ke-16. Tetapi pastinya, kita akan berhadapan dengan beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) di beberapa buah negeri sebelum itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Temerloh, sebentar tadi.

Ujarnya, UMNO/BN sentiasa meletakkan perjuangan untuk membela agama Islam dan bangsa

Mengulas lanjut, beliau turut menyeru ahli dan akar umbi untuk memanfaatkan media sosial sebagai medium komunikasi dalam usaha mendekati rakyat.

“Antara cabaran kita pada PRU ke-14 dan 15, UMNO gagal di media sosial. Tetapi alhamdulilah, kita kini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan sedikit tekanan yang wujud di media sosial.

“Penerangan UMNO pada hari ini tidak mahu lagi buat ceramah besar-besaran. Kita mesti tahu menggunakan media sosial. Macam mana nak tolak fitnah mereka lakukan dan naikkan prospective positif tentang kita? Kerja kita mudah sahaja, like, komen dan share.

“Hari ini kita berhadapan dengan isu persepsi. Sebagai ahli parti, kita kena ada kemahiran dalam media sosial. Saya cadangkan UMNO Bahagian Temerloh untuk wujudkan ‘war room’ media sosial di setiap cawangan dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi memperkasa penggunaan media sosial kerana semua ahli perlu diberikan kemahiran tersebut,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79