Tiada Yang Mustahil, UMNO Mampu Bangkit Kembali

KUALA NERUS, 26 Julai – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa tiada yang mustahil untuk UMNO kembali menjadi parti dominan dalam pilihan raya akan datang sekiranya seluruh ahlinya bersatu dan bertekad untuk memperkukuh perjuangan parti.

Mohamad yang juga Menteri Luar Negeri berkata, UMNO pernah menerajui negara selama 13 penggal dan hanya mengalami kekalahan sebanyak dua kali dalam sejarah pilihan raya negara.

“Dalam politik tidak ada mustahil UMNO akan menjadi dominan pada pilihan raya nanti. UMNO sudah dua kali kalah dan tiga belas kali terajui negara. Ini semua boleh dilakukan dengan keazaman, dan kesepakatan ahli parti adalah resepi utama supaya dilihat sebagai sebuah parti yang tidak berbelah antara satu sama lain.

“Apabila sudah bersepakat, gerak kerja akan datang secara automatik bersama-sama. Kekuatan UMNO adalah di cawangan, daftar pengundi lokaliti pun di cawangan. Pusat Daerah Mengundi (PDM) bukannya struktur parti, PDM adalah struktur Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Jentera di peringkat cawangan yang tahu dan kenal pengundi… sebelum dibubarkan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah tahu kedudukan kita. Sekiranya masih lemah, kita ada masa lagi untuk perbaiki kelemahan tersebut dan cuba mencari seramai ahli parti dan pengundi di kawasan kita,” katanya kepada perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus.

Beliau merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus, di Dewan Quinara Al- Safir Resort di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, Ketua Wanita UMNO Negeri Terengganu, Toh Puan Zaiton Mat Amin, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Abdul Rahin Mohd Said serta pemimpin-pemimpin empat peringkat.

Tambah Ahli Parlimen Rembau itu, penyusunan semula gerak kerja di peringkat akar umbi perlu dilakukan secara strategik untuk memastikan UMNO kekal relevan dan diyakini rakyat.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau berkata perpaduan dalam kalangan ahli parti amat penting untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO.

“Keutamaan UMNO sekarang adalah memperkuatkan dan memperkasakan parti. Kita harus harmonikan silaturahim kerana parti yang anggotanya sentiasa berbalah-balah, tiada siapa yang akan menyokong parti tersebut terutamanya pemimpin-pemimpinnya yang berbalah-balah.

“Muafakatlah elok-elok dan jangan berselisih, tidak ada apa-apa yang hendak direbutkan. Kuatkan parti melalui kebersamaan dalam parti,” katanya lagi.

Beliau turut melahirkan rasa syukur kerana UMNO kini semakin harmoni dan menyifatkan semangat berpasukan dalam parti semakin kukuh.

“Alhamdulillah… UMNO semakin harmoni dan pegangan adalah memperkemaskan jentera supaya pengundi lihat parti ini membina keazaman baharu untuk bangkit dan bina semula. Ahli parti sama-sama sepakat untuk membina semula kekuatan parti,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79