Jangan Tembak Sesama Sendiri, Perbaiki Hubungan Demi UMNO – Suhaimizan
TAMPIN, 28 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar menasihati ahli parti terutamanya barisan Pemuda UMNO agar terus memperkukuh kesatuan dan mengelak daripada berpecah sesama sendiri.
Beliau yang juga Exco Pemuda UMNO berkata, pengalaman lalu sewaktu pilihan raya harus dijadikan pengajaran kepada seluruh ahli UMNO, khususnya golongan muda dalam parti.
“Kita harus mengambil iktibar dengan kelakuan yang dilakukan masa pilihan raya lalu, yang menembak ahli sesama sendiri, bergaduh sesama sendiri dari dalam dan ia menyebabkan UMNO lemah.
“Insya Allah… Pemuda UMNO Tampin akan terus bersatu padu, perbaiki apa jua hubungan baik dengan ahli UMNO agar parti ini lebih kuat dan padu menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya negeri (PRN).
“Pemuda UMNO Tampin sentiasa meraikan apa jua minat anak muda dan semangat kerjasama golongan ini terutamanya sokongan terhadap parti UMNO sangat memberansang dan baik agar parti ini semakin kuat di masa mendatang,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, Suhaimizan yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tampin berkata, pendekatan yang lebih inklusif dan mesra belia akan dilaksanakan bagi memastikan parti terus relevan di hati golongan muda.
“Pemuda UMNO Tampin akan terus mengambil inisiatif membawa dan menjalankan pelbagai program untuk anak-anak muda malah yakin orang muda akan sentiasa menyokong UMNO.
“Kita mahu pastikan anak muda bukan sahaja faham perjuangan parti, tetapi juga terlibat secara langsung dalam pelbagai aktiviti yang dapat meningkatkan kemahiran, kepimpinan dan kesedaran mereka.
“Kita perlu tampil sebagai pasukan yang bersatu dan berdaya saing dalam mendepani cabaran politik semasa, apatah lagi dengan landskap politik yang semakin mencabar dan kompleks hari ini,” katanya lagi.
Beliau turut mengulas berkaitan program yang diterapkan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab sebagai pendekatan yang sangat baik serta berkesan dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja mampu menguasai hafazan Al-Quran, malah cemerlang dalam bidang akademik.
“Apa yang dijalankan di MRSM Ulul Albab adalah satu pendekatan yang sangat baik serta berkesan dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja mampu menguasai hafazan Al-Quran, tetapi juga cemerlang dalam bidang akademik.
“Program ini berjaya melahirkan generasi muda yang seimbang dari segi rohani dan intelek, di mana lepasan MRSM Ulul Albab bukan sahaja mampu mendalami hafalan Al-Quran, tetapi juga berpotensi melanjutkan pelajaran ke bidang-bidang profesional seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan lain-lain bidang yang relevan dengan keperluan pasaran kerja semasa.
“Ini adalah satu bentuk pendidikan holistik yang sangat berguna untuk anak-anak muda masa kini. Ia bukan sahaja membentuk sahsiah dan jati diri yang kukuh, malah menyediakan mereka dengan ilmu dan kemahiran yang boleh membuka lebih banyak peluang dalam kerjaya serta menyumbang kepada pembangunan negara di masa hadapan,” ujarnya. – UMNO Online