Pahang Catat Jumlah Pelaburan RM4 Bilion, Tertinggi Di Negeri Pantai Timur

KERAJAAN Negeri Pahang terus menunjukkan prestasi cemerlang dalam menarik pelaburan ke negeri ini.

Sehingga Jun 2025, Pahang mencatat jumlah pelaburan direalisasikan tertinggi di Pantai Timur dengan nilai keseluruhan mencecah RM4 bilion, sekali gus mengatasi negeri-negeri lain seperti Terengganu (RM1.3 bilion) dan Kelantan (RM1.1 bilion).

Pencapaian ini adalah hasil kerjasama erat dan usaha bersepadu pelbagai pihak termasuk agensi-agensi Kerajaan Negeri, syarikat berkaitan kerajaan negeri (S-GLC), Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) serta para pemain industri dan komuniti pelabur.

Pelaburan ini memperkukuh kedudukan ekonomi negeri, terutamanya dalam sektor-sektor strategik seperti pembuatan, minyak dan gas serta pelancongan, yang terus berkembang sebagai pemacu utama pertumbuhan negeri.

Selain itu, bagi kategori pelaburan komited, Pahang merekodkan nilai RM3.5 bilion, menggambarkan keyakinan tinggi pelabur terhadap kestabilan ekonomi dan iklim pelaburan yang kondusif di negeri ini.

Dalam pada itu, Pahang turut merekodkan jangkaan nilai pelaburan baharu berimpak tinggi sebanyak RM38.4 bilion.

Ini membuktikan bahawa Pahang kini berada pada landasan yang kukuh sebagai sebuah negeri yang progresif, mesra pelabur dan semakin kompetitif.

Dari sudut prestasi ekonomi pula, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pahang bagi tahun 2024 mencatat pertumbuhan 5.7 peratus, mengatasi purata nasional iaitu 5.1 peratus dengan nilai RM68.7 bilion, terbaik di Pantai Timur.

Malah sejak tahun 2018, KDNK negeri ini telah mencatat peningkatan sebanyak 23 peratus, bersamaan nilai kira-kira RM13 bilion, suatu refleksi kepada pelaksanaan dasar pembangunan yang strategik, mampan dan menyeluruh.

Kejayaan ini membuktikan bahawa kestabilan politik, dasar yang konsisten, pembangunan infrastruktur moden serta ekosistem pelaburan yang mesra dan efisien menjadi pemangkin utama kemajuan negeri.

Kerajaan Negeri akan terus komited memperkasakan inisiatif pemudahcara pelaburan, mempercepat pelaksanaan projek strategik serta memperkukuh jaringan infrastruktur sokongan di seluruh negeri.

Segala pencapaian ini adalah cerminan pelaksanaan Aspirasi Pahang 1st, yang menekankan pertumbuhan ekonomi seimbang, peluang pekerjaan untuk rakyat serta agihan kemakmuran secara adil dan menyeluruh.

Kerajaan Negeri Pahang akan terus beriltizam memperkukuh dasar mesra pelaburan, meningkatkan daya saing ekonomi serta memastikan setiap rakyat Pahang mendapat manfaat langsung daripada kemajuan yang dicapai bersama.

Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail
Menteri Besar Pahang

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79