Semangat Kembalikan Kekuatan, Dominasi UMNO/BN Kekal Kukuh – Jalaluddin

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias menegaskan bahawa semangat untuk mengembalikan kekuatan dan dominasi UMNO serta Barisan Nasional (BN) masih kukuh dalam kalangan ahli akar umbi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata ini kerana kerjasama dalam kalangan kepimpinan parti dan jentera kekal utuh dalam memastikan parti keramat ini terus menjadi pilihan rakyat.

“Semangat untuk menggembalikan kerusi kerana apabila kita kalah 22 bulan lalu kita boleh menang tujuh siri Pilihan Raya Kecil (PRK) berturut-turut.

“Kerana semangat semua ahli Parlimen dan ketua UMNO bahagian apa pun berlaku kita akan tetap kekal sebagai jentera kuat di dalam kepimpinan UMNO di bawah Presiden UMNO untuk memenangkan setiap pilihan raya.

“Kekal bersemangat hendak tengok UMNO/BN kembali dominan.

“Apa yang kita tak lalui? UMNO ini pernah dominan, pernah kalah, termasuk krisis dalaman ahli, UMNO diharamkan, sudah pelbagai situasi kita lalui,” katanya menerusi satu hantaran video semasa merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Jelebu.

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata UMNO sebagai parti berpengalaman sebagai cekap dalam mengurus krisis, menjadi faktor utama parti itu kekal relevan meskipun berdepan pelbagai cabaran sejak dekad lalu.

Menurut beliau, ini kerana kekuatan UMNO terletak pada semangat dan keikhlasan ahli yang tidak pernah luntur.

“Dalam soal pengurusan krisis, UMNO cukup cantik. Kita kekal tersusun walaupun dihimpit cabaran. Setiap orang UMNO, daripada muda hingga tua, dalam hati mereka hanya satu hasrat mahu lihat UMNO kembali berkuasa.

“Tak ada siapa sebut nak jadi wakil rakyat, tak ada sebut nak jadi ketua bahagian. Semangat di peringkat bawah ini ikhlas untuk pastikan UMNO kuat semula.

“Inilah bukti semangat perjuangan yang sebenar. UMNO akan terus kuat jika semangat ini terus disemai,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79