Norliza Seru Laksana Titah Ikut Perlembagaan, Tuntut Keadilan Untuk Najib

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Wanita UMNO Bahagian Bukit Gelugor menyatakan sokongan padu terhadap kepimpinan UMNO dalam menyeru agar titah Yang di-Pertuan Agong berhubung pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, dilaksanakan mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan dan prinsip keluhuran undang-undang.

Ketuanya yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim, berkata tuntutan ini bukan sekadar membela seorang individu, tetapi menjunjung institusi Raja, menegakkan prinsip keadilan sejagat dan mempertahankan hak setiap rakyat untuk mendapat proses yang adil dan berperikemanusiaan.

“Titah Raja tidak wajar diperlekeh. Keadilan tidak boleh dilengahkan. Setiap rakyat, tanpa mengira kedudukan, berhak mendapatkan keadilan yang telus dan saksama,” tegas beliau dalam satu kenyataan.

Norliza menambah bahawa meskipun proses kehakiman telah berlangsung, keadilan sebenar tidak menutup ruang bagi pertimbangan insani, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan titah seorang Raja dan nasib seorang bekas pemimpin negara yang telah banyak berjasa.

Dalam masa sama, beliau turut menzahirkan simpati terhadap keluarga Najib, khususnya Datin Seri Rosmah Mansor dan anak-anak mereka yang kini berdepan kesukaran dan tekanan emosi.

“Kami mendoakan agar mereka terus tabah dan diberi kekuatan. Dalam setiap perjuangan, pasti ada pengorbanan. Namun, perjuangan untuk menegakkan kebenaran tidak seharusnya dibungkam,” ujarnya lagi.

Norliza turut mengingatkan semua pihak agar mendekati isu ini dengan hati yang terbuka dan fikiran yang waras, tanpa menjadikan keadilan sebagai alat politik.
“UMNO tidak pernah menolak undang-undang. Apa yang kami perjuangkan ialah keadilan yang tulen, jujur dan penuh hikmah,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79