Kesejahteraan Rakyat Sabah Mesti Jadi Realiti, Bukan Sekadar Naratif – Suhaimi

LIBARAN, 14 Julai – “Saya akan terus memantau dan memperjuangkan isu-isu rakyat agar kesejahteraan rakyat tidak hanya menjadi naratif, tetapi satu realiti yang dapat dirasai oleh seluruh rakyat Sabah.”

Itulah komitmen tegas Ketua Penerangan UMNO Sabah merangkap Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Nasir dalam usaha berterusannya membela kebajikan rakyat.

Beliau memaklumkan projek menaik taraf titian pejalan kaki di Jeti Nelayan Kampung Sungai Beruang, Batu 12, yang sedang dilaksanakan di bawah peruntukan Projek Mesra Rakyat (PMR) 2023 dibuat demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

“Projek ini merupakan antara usaha berterusan saya dalam memastikan kemudahan asas rakyat, khususnya komuniti nelayan, terus diberikan perhatian dan keutamaan. Jeti ini merupakan laluan utama para nelayan dan penduduk kampung untuk keluar masuk ke kawasan perairan serta mengangkut hasil tangkapan mereka.

“Sebelum ini, struktur kayu yang telah uzur dan tidak selamat digunakan sering menjadi aduan masyarakat setempat.

“Ia bukan sahaja menjamin keselamatan pengguna, tetapi juga memudahkan pergerakan hasil laut serta aktiviti harian komuniti nelayan. Projek ini juga dilihat mampu memberi nilai tambah kepada aspek sosioekonomi penduduk kampung,” katanya dalam kenyataan media.

Menurut beliau, pembangunan fizikal sahaja tidak mencukupi kerana fokus utama perlu terus diberikan kepada aspek kesejahteraan menyeluruh rakyat, termasuk isu kemiskinan, peluang pekerjaan, bekalan air dan elektrik yang stabil, serta perumahan yang selesa.

Terdahulu katanya, dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap pelaksanaan program kerajaan yang masih belum menyentuh sepenuhnya golongan memerlukan, terutama di kawasan luar bandar.

“Saya menyambut baik inisiatif seperti STR, SYUKUR, Rumah Mesra SMJ dan latihan kemahiran. Tapi pelaksanaannya mesti telus dan menyeluruh. Jangan ada rakyat yang tercicir, lebih-lebih lagi yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Suhaimi menegaskan bahawa tanggungjawab seorang wakil rakyat bukan sekadar membuat pengumuman, tetapi memastikan setiap perancangan diterjemah menjadi manfaat nyata kepada rakyat.

“Saya tidak akan berdiam diri selagi masih ada rakyat yang hidup dalam kesempitan. Kesejahteraan rakyat bukan hanya slogan – ia mesti dilihat, dirasai dan dinikmati oleh semua,” tambahnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79