Pemuda Putrajaya Teruskan Misi Kebajikan, #TakBanyakAlasan Demi Rakyat

PUTRAJAYA, 14 Julai – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya, Dr Tengku Iqbal Munawwir Tengku Adnan terus menggerakkan inisiatif kebajikan #TakBanyakAlasan dengan menyantuni lebih 40 penerima di sekitar Presint 5 dan kawasan tempatan.

Program yang berlangsung dalam suasana penuh mesra ini menyaksikan Dr Tengku Iqbal turun padang bertemu sendiri dengan penduduk setempat, termasuk kanak-kanak dan golongan dewasa, sambil menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak, gula dan barangan dapur lain.

Ujarnya, inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya dalam mendekati rakyat serta memastikan bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang benar-benar dilaksana tanpa banyak alasan dan kerenah birokrasi.

“Matlamat utama kita jelas turun padang, dengar suara rakyat, dan bantu sebaik mungkin. Kita tidak mahu terlalu banyak alasan apabila melibatkan soal kebajikan rakyat. Ini adalah tanggungjawab kita sebagai pemimpin muda yang memahami denyut nadi masyarakat,” ujarnya kepada UMNO Online.

Program ini turut diserikan dengan sesi santai bersama kanak-kanak di gelanggang sukan Presint 5, apabila Dr Tengku Iqbal sempat meluangkan berinteraksi dengan mereka.

“Aktiviti seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat, malah memberi ruang kepada generasi muda untuk lebih dekat dengan nilai-nilai kepimpinan dan kebajikan.”

Beliau menjelaskan bahawa program sedemikian turut memberi penekanan terhadap semangat kebersamaan di kalangan penduduk.

Katanya, walaupun UMNO bukan parti yang menguasai kerusi Parlimen Putrajaya, mereka tetap tidak berkompromi dalam kepentingan kebajikan rakyat
Dalam masa yang sama, Dr Tengku Iqbal turut menyeru semua ahli UMNO dan jentera akar umbi untuk terus aktif dalam gerak kerja seumpama ini.

“Sambutan yang diterima amat menggalakkan, dan rata-rata penerima menzahirkan penghargaan atas keprihatinan yang ditunjukkan. Mereka berharap program seperti ini diteruskan secara konsisten demi menjaga kebajikan komuniti setempat.

“Dalam landskap politik yang semakin mencabar, keaktifan UMNO di semua peringkat khususnya melibatkan golongan muda amat penting malah ia sebagai tulang belakang kelangsungan parti dan jambatan utama dalam meneruskan legasi perjuangan UMNO,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79