Rakyat Sedar… Tidak Ada Kerajaan Terbaik Selain UMNO/BN – Ahmad Jazlan

TANAH MERAH, 15 Julai – Rakyat kini semakin sedar bahawa tidak ada kerajaan dan parti yang terbaik selain daripada UMNO/Barisan Nasional (BN), kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Jelasnya, beliau teruja apabila menyaksikan ramai ahli dan akar umbi hadir untuk memeriahkan Majlis Perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Tanah Merah yang berlangsung pada Jumaat.

“Saya cukup teruja menyaksikan begitu ramai yang hadir. Ini bukan sahaja perwakilan tetapi jentera parti datang untuk meraikan Mesyuarat Perwakilan yang disempurnakan oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Kalaulah betul-betul seramai ini berazam dan bertekad selepas kita menang tahun 2004… kita hilang sekejap kerusi Parlimen Tanah Merah pada 2008. Kemudian menang semula pada tahun 2013 dan 2018. Parlimen Tanah Merah ini menang… sekali dengan Machang pada waktu itu sebelum gelombang besar datang.

“Inilah wajah-wajah yang memenangkan UMNO/BN Tanah Merah. Mereka inilah juga yang telah berikrar di hadapan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Wan Rakemi untuk mengembalikan kemenangan Tanah Merah seperti dahulu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Tanah Merah yang diadakan pada Jumaat.

Ahmad Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Machang berkata, UMNO merupakan parti induk yang menjaga kepentingan bangsa Melayu serta agama Islam.

“Dalam sistem konsep demokrasi negara, parti Melayu yang paling besar adalah UMNO dan ia tidak dapat dinafikan. Pas boleh kata bahawa mereka parti Melayu tetapi UMNO paling besar.

“PPBM boleh katakan perkara yang sama namun semua ini adalah serpihan daripada UMNO. Inilah yang jaga Melayu dan paling besar. Tetapi dalam usaha kita memartabatkan parti kita kasihi, rakyat di luar sana sedar tidak ada kerajaan dan parti yang terbaik selain daripada UMNO.

“Rakyat di luar sana sedar hari ini betapa memberikan 26 kerusi kepada UMNO adalah kesilapan besar kepada rakyat Malaysia. Rakyat juga sedar tak kira apa bangsa termasuk etnik di Sabah dan Sarawak bahawa kehilangan UMNO/BN sebagai peneraju di negara ini menghilangkan kestabilan politik yang menjadi asas penting di dalam kehidupan rakyat,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa rakyat sudah tidak sabar untuk beralih dan memberikan kemenangan kepada UMNO/BN pada PRU ke-16.

“Percayalah dan yakinlah… berkat doa kita semua, rakyat di luar sana sudah tidak sabar menunggu PRU ke-16 untuk memberikan kemenangan kepada UMNO/BN di setiap kerusi yang kita pertandingkan.

“Kalau orang Tanah Merah bercakap soal membela rakyat di sini yang kebanyakannya B40… mereka ini perlu dibantu. Maka, tidak ada wakil rakyat yang sepatutnya dan selayaknya selain daripada UMNO/BN.

“Maka saya yakin dan percaya di dalam tempoh kemarau panjang ini kita akan berjaya meletakkan Tanah Merah sebagai kerusi yang patut dimenangi UMNO/BN,” katanya lagi.

Turut hadir, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Wan Rakemi Wan Zahari dan pemimpin bahagian empat peringkat serta pendukung parti. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79