Penjelasan AG Jernihkan Kekeliruan Timbul Babitkan Titah Adendum Najib

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyambut baik pengesahan berhubung kewujudan dokumen adendum yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 seperti yang disahkan oleh Peguam Negara baru-baru ini.

Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata penjelasan ini memperkukuh keyakinan terhadap prinsip Raja Berperlembagaan dan keluhuran Perlembagaan, serta menjernihkan kekeliruan yang timbul dalam ruang awam sebelum ini.

“Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak mengambil maklum dan menyambut baik penjelasan rasmi oleh Peguam Negara kepada Mahkamah Persekutuan yang mengesahkan kewujudan dan kesahan titah adendum oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pelaksanaan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Sebagai parti yang berteraskan kesetiaan kepada Raja dan Negara, UMNO Negeri Perak menegaskan bahawa titah diraja yang diperkenan secara sah perlu dilaksanakan dengan penuh rasa hormat dan tanggungjawab,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau juga meluahkan kepercayaan bahawa pelaksanaan titah adendum ini bukan sahaja selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan tetapi juga mencerminkan kematangan sistem kenegaraan kita yang menjunjung prinsip keadilan dan ihsan dalam kerangka undang-undang yang sah.

“Justeru, UMNO Negeri Perak menyeru Kerajaan Persekutuan, khususnya YAB Perdana Menteri dan Jabatan Penjara Malaysia, agar mengambil tindakan segera melaksanakan titah ini.

“Ini penting bukan sahaja demi menjunjung institusi tertinggi negara, malah sebagai lambang keadilan yang seimbang antara undang-undang dan perikemanusiaan.

“Kami terus teguh mempertahankan keluhuran Perlembagaan dan Institusi Diraja demi kestabilan, keharmonian dan masa depan negara,” ujar beliau.

Terdahulu, pada Rabu Jabatan Peguam Negara memaklumkan kepada Mahkamah Persekutuan bahawa pihaknya tidak mempertikaikan kewujudan Titah Adendum yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara dalam tahanan rumah. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79