Kerja Keras, Kembalikan Kepercayaan Rakyat Kelantan Kepada UMNO – Wan Rakemi
TANAH MERAH, 14 Julai – Seluruh pemimpin dan para jentera UMNO Kelantan khususnya di Tanah Merah perlu bekerja keras untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada parti ini, kata Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Datuk Wan Rakemi Wan Zahari.
Ketika ditemui UMNO Online beliau berkata, kehadiran lebih 5,000 perwakilan dan ahli pada Mesyuarat UMNO Bahagian Tanah Merah yang berlangsung pada Jumaat memperlihatkan rakyat mula kembali memberikan sokongan.
“Alhamdulilah, Mesyuarat UMNO Bahagian Tanah Merah telah dilaksanakan dengan cemerlang, dirasmikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan disertai hampir 6,000 orang perwakilan serta pemerhati.
“Ini memperlihatkan sokongan rakyat mula kembali kepada UMNO. Di Tanah Merah ini, ramai tertipu dan terpedaya. Padahal, ahli UMNO di Tanah Merah ini memang begitu kuat.
“Apabila bekas pemimpin yang kita amanahkan untuk mengemudi UMNO Bahagian Tanah Merah ini telah pergi ke sebelah sana… hari ini mereka sudah sedar bahawa UMNO adalah parti yang memperjuangkan agama dan juga bangsa negara kita khususnya di Tanah Merah,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, beliau yakin bahawa dengan kepimpinan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub ia akan dapat menggamit semula sokongan rakyat kepada parti.
“Semua pemimpin dan para jentera termasuk akar umbi mesti bekerja keras melaksanakan tugas untuk membela nasib rakyat. Rakyat yang susah kita kena bantu. Mana-mana rakyat yang memerlukan pertolongan kita kena tolong. Kita kena turun untuk mendengar denyut nadi rakyat di bawah.
“Saya berasa yakin di bawah kepimpinan Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub yang telah banyak mengubah hala tuju kerja UMNO di Kelantan ini. Beliau telah menggalakkan segala aktiviti yang melibatkan rakyat diteruskan,” katanya lagi.
Mesyuarat UMNO Bahagian Tanah Merah telah dirasmikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat lalu.
Turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki selaku perasmi; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan pemimpin bahagian empat peringkat serta pendukung parti. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman