Sabah Antara Negeri Rumah Termahal, Rakyat Perlukan Rumah Mampu Milik – Bung Moktar
KOTA KINABALU, 8 Julai – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyuarakan kebimbangan terhadap harga rumah yang semakin tidak mampu milik di negeri Sabah, menjadikannya antara negeri yang mencatatkan harga rumah tertinggi di Malaysia.
Menurut beliau, jumlah rumah mampu milik yang tersedia di negeri itu masih terlalu sedikit, sekali gus menjejaskan impian ramai rakyat Sabah terutamanya kakitangan kerajaan dan golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah sendiri.
“Ramai kakitangan dan orang awam mengeluh bahawa rumah di Sabah sangat mahal. Ini perlu dikaji oleh pihak Kementerian berkaitan,” tegas Bung Moktar ketika berbahas dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Tahun 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, semalam.
Beliau turut mempersoalkan perancangan kerajaan negeri dan Kementerian Kerajaan Tempatan Sabah dalam menyediakan lebih banyak projek perumahan rakyat (PPR) dan rumah mampu milik, yang kini dilihat sebagai satu keperluan mendesak bagi rakyat negeri ini.
“Rumah PPR sangat popular di Sabah. Rakyat berebut-rebut untuk mendapatkannya walaupun hanya disewa. Ini menunjukkan keperluan yang sangat tinggi. Namun, mereka menyewa bertahun-tahun tetapi masih tiada rumah sendiri,” katanya.
Bung Moktar turut mencadangkan agar kerajaan negeri berbincang dengan Kerajaan Persekutuan untuk memperkenalkan konsep ‘sewa untuk beli’ bagi rumah PPR, sebagai satu penyelesaian jangka panjang.
“Tidakkah kerajaan negeri cuba berbincang dengan Kerajaan Persekutuan atau mana-mana agensi agar rumah ini ditawarkan melalui konsep sewa untuk beli? Supaya mereka ada masa depan,” ujarnya.
Beliau yang juga ADUN Lamag menegaskan bahawa sudah tiba masanya kerajaan mencari mekanisme dan pendekatan baharu yang lebih efektif bagi memastikan rakyat Sabah tidak terus ketinggalan dalam memiliki aset kediaman sendiri. – UMNO Online