Pemuda UMNO Johor Teguh Bersama Presiden, Bawa Aspirasi Anak Muda Ke Dasar Negeri

JOHOR BAHRU, 8 Julai – Pemuda UMNO Johor menegaskan komitmen teguh mereka dalam mendukung kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam usaha membawa suara dan aspirasi anak muda ke pentas dasar negeri.

Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Ts Mohd Syes Mohamed berkata, fokus utama sayap pemuda parti adalah kepada penyelesaian yang nyata, bukan sekadar kritikan kosong seperti yang sering dimainkan oleh ARMADA BERSATU Johor.

“Ketika ARMADA terus bermain persepsi dan retorik politik, Pemuda UMNO Johor kekal bekerja, menyantuni rakyat dan menawarkan solusi jangka panjang kepada isu-isu belia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan bahawa Pemuda UMNO Johor secara konsisten melaksanakan pelbagai inisiatif memperkasa anak muda termasuk:
• Pemerkasaan TVET melalui kolaborasi dengan institusi teknikal dan industri,
• Program keusahawanan belia bersama MARA, TEKUN dan SME Corp,
• Aktiviti pembangunan komuniti belia di seluruh negeri di bawah pimpinan Exco Kerajaan Negeri.

“Kami bukan bermusim. Kami tidak menunggu musim pilihan raya untuk turun padang. Kami sudah lama bekerja bersama rakyat,” tegasnya.

Tambah beliau, pencapaian pentadbiran Johor hari ini membuktikan hasil kepimpinan yang stabil dan fokus – dengan pelaburan tertinggi dalam negara (RM30.1 bilion suku pertama 2025), pertumbuhan KDNK tertinggi (6.4%), dan Johor muncul peneraju sektor pertanian negara.

Sebaliknya, katanya, BERSATU Johor sewaktu menerajui kerajaan negeri dahulu gagal menunjukkan prestasi yang membanggakan, malah mencetuskan kontroversi termasuk kenaikan mendadak cukai tanah FELDA dan kegagalan projek PPP FELDA.

“ARMADA tiada konsistensi dasar – hari ini tolak GST, esok tolak SST. Mereka tiada halatuju jelas, hanya tahu membangkang tanpa menawarkan penyelesaian,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan bahawa rakyat hari ini menilai berdasarkan kerja, bukan sekadar semboyan atau slogan politik.

“Masalah banjir, tekanan kos sara hidup, peluang pekerjaan dan isu kebajikan luar bandar tidak selesai dengan kenyataan media – ia memerlukan kehadiran dan tindakan. Di situlah Pemuda UMNO Johor berada.”

Akhirnya, beliau menegaskan bahawa Pemuda UMNO Johor akan terus menjadi suara utama anak muda, memperjuangkan agenda pembangunan belia dan mempertahankan kepentingan rakyat Johor secara konsisten dan berprinsip. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79