PDRC Johor Pacu Solusi Kreatif Demi Agenda Perumahan Rakyat – Mohd Jafni

JOHOR BAHRU, 7 Julai – Jawatankuasa Planning Design Review Community (PDRC) Kerajaan Negeri Johor terus memacu agenda perumahan rakyat dengan pendekatan lebih kreatif, inklusif dan lestari bagi memastikan penyediaan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) berjalan lancar dan memenuhi keperluan sebenar rakyat.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, mesyuarat PDRC hari ini yang dipengerusikannya melibatkan pelbagai cadangan, pindaan dan penilaian teknikal ke atas projek RMMJ dari daerah Johor Bahru, Kota Tinggi, Kluang dan Tangkak.

Menurut beliau, PDRC kini bukan sekadar medan semakan teknikal, tetapi platform penting untuk merangka solusi kreatif yang mampu menterjemah dasar kerajaan ke dalam bentuk pembangunan berimpak tinggi, efisien serta mampan.

“Selaras dengan aspirasi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, PDRC menjadi jentera penting untuk merealisasikan sasaran pembinaan sekurang-kurangnya 30,000 unit rumah mampu milik menjelang 2026 dan 100,000 unit menjelang 2030,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Jelasnya, sehingga kini, sebanyak 31 sesi PDRC telah diadakan membabitkan 10 daerah, 127 pemaju dan 159 projek di bawah seliaan 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dengan keseluruhan sasaran pembinaan mencecah 27,762 unit RMMJ.

Mohd Jafni menegaskan bahawa pihaknya bukan hanya menilai pelan di atas kertas, tetapi turut mengambil kira impak sebenar kepada masyarakat, termasuk ketersediaan surau, taman permainan, dewan serbaguna serta elemen sosial dan spiritual dalam pembangunan yang dirancang.

“Antara elemen menarik kali ini adalah pembesaran kawasan dewan, pemindahan lokasi surau lebih dekat dengan rumah mampu milik. Ini bukti bahawa kita bukan hanya berfikir dalam kerangka teknikal, tetapi juga keprihatinan sosial dan spiritual.

“PDRC bertindak bukan sebagai penghalang, tetapi sebagai fasilitator untuk pembangunan yang lebih inklusif dan berdaya tahan. Setiap keputusan disemak teliti oleh pasukan teknikal melibatkan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ), SUK, Pejabat Tanah, PLANMalaysia Johor dan jabatan berkaitan,” jelas beliau.

Beliau turut menegaskan pentingnya prinsip “micro-manage”, “teamwork” dan “turun padang” yang digariskan oleh Menteri Besar dalam memastikan setiap projek benar-benar direalisasikan tanpa tertangguh dan rakyat tidak terus menunggu.

“Johor mesti ke hadapan dalam aspek kelulusan, pelaksanaan hingga penyerahan kunci. Insya-Allah, dengan semangat kerja berpasukan, PDRC akan terus memainkan peranan penting dalam menjayakan misi #MajuJohor serta menjadikan perumahan sebagai simbol keadilan sosial untuk seluruh rakyat,” tambahnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79