Semangat, Kesatuan Mampu Angkat Semula Martabat UMNO – Ibnu Rasyeed

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Semangat, kesatuan dan kerja berpasukan mampu untuk mengangkat semula martabat parti terutamanya dalam mengembalikan keyakinan generasi muda.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang, Ibnu Rasyeed Mat Isa berkata, UMNO jadi lebih kuat apabila ketiga-tiga sayap iaitu Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri berpadu tenaga.

“UMNO kuat apabila tiga sayap saling berpadu tenaga. Wanita sebagai tiang seri, Pemuda sebagai benteng hadapan dan Puteri sebagai pelapis harapan. Tanpa salah satu, perjuangan kita tidak akan sempurna.

“Atas semangat itu, Pergerakan Pemuda UMNO Bukit Gantang hadir bukan sekadar jadi penyokong di belakang. Tetapi, kami bersedia untuk memimpin bersama.” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, beliau turut menyeru ahli dan akar umbi menjadikan musim Mesyurat UMNO Bahagian sebagai titik permulaan untuk menyusun strategi perjuangan parti.

“Kami yakin dengan semangat, kesatuan dan kerja berpasukan kita mampu angkat semula martabat parti dan kembalikan keyakinan generasi muda.

“Marilah kita jadikan mesyuarat ini bukan sekadar acara tahunan, tetapi sebagai titik permulaan untuk menyusun semula langkah perjuangan kita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berpandangan bahawa orang muda perlu diberi ruang dan peluang untuk memimpin serta menyumbangkan tenaga kepada parti.

“Orang muda bukan lagi pelengkap majlis, tapi peneraju gelombang. Orang muda perlu diberi ruang, bukan sekadar peluang kerana hanya kami yang faham luka dan harapan anak-anak muda.

“Mereka mahukan perjuangan yang segar, pimpinan jujur dan wadah yang berani berubah.

“Kami Pemuda tidak pernah datang dengan janji manis. Kami tawarkan kesungguhan untuk terus menyumbang tenaga, fikiran dan komitmen dalam memperkukuh sayap sebagai parti perjuangan yang membawa perubahan sebenar buat nusa tercinta,” katanya lagi.

Terdahulu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh telah hadir untuk Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Sayap UMNO Bahagian Bukit Gantang pada Sabtu.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang merangkap Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie dan barisan kepimpinan sayap UMNO Bahagian Bukit Gantang. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79