Prinsip Kebersamaan, Kesatuan Jadi Teras Perjuangan UMNO – Zambry

LUMUT, 7 Julai – Ketua UMNO Bahagian Lumut merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan bahawa prinsip kebersamaan dan kesatuan pemimpin serta akar umbi menjadi teras kepada perjuangan parti.

Ketika ditemui UMNO Online, beliau turut menekankan bahawa betapa peri pentingnya menjaga hubungan kerjasama yang telah dibina seperti di Negeri Perak dan peringkat Persekutuan.

“Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah datang ke Bahagian Lumut untuk merasmikan mesyuarat perwakilan dan saya ingin mengucapkan terima kasih atas kesudian beliau dalam memilih bahagian ini.

“Beliau mengingatkan beberapa perkara penting khususnya dalam konteks Negeri Perak terutamanya tentang hubungan kerjasama yang dibina. Walaupun pada hakikatnya Barisan Nasional (BN) itu ada lambangnya… namun di dalamnya ada pelbagai parti juga.

“Dalam konteks Negeri Perak, beliau mengingatkan bagaimana hasil persefahaman BN-PH dapat membentuk kerajaan. Walaupun BN mempunyai sembilan daripada keseluruhan 59 kerusi… PN ada 26 dan PH ada 24 kerusi. Apabila terbentuk kerjasama, PH memberikan jawatan menteri besar kepada BN walaupun kita ada sembilan kerusi sahaja,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, UMNO perlu menyantuni semangat kebersamaan dalam BN dan juga rakan baharu iaitu PH serta meninggalkan budaya-budaya politik lama kerana suhunya telah berbeza pada masa ini.

“Ini adalah bentuk persefahaman dan juga kerjasama yang cuba dibina dalam konteks Negeri Perak. Dalam kita membentuk kerajaan kita perlu ada persefahaman bersama.

“Datuk Seri Presiden juga telah memberikan beberapa prasyarat penting dalam meneruskan perjuangan. Pertama, beliau mengingatkan bahawa prinsip kesatuan dalam UMNO merupakan teras perjuangan parti. Prinsip kebersamaan dan kesatuan dalam kalangan ahli-ahli UMNO itu sendiri juga perlu teguh.

“Datuk Seri Zahid juga mengingatkan kita tentang pentingnya untuk kita menyantuni semangat kebersamaan dalam BN dan dalam masa yang sama dalam semangat kerjasama yang kita bentuk pada hari ini dengan PH,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa kerjasama yang dibentuk baik melalui rakan-rakan komponen BN dan PH adalah penting untuk menentukan kemenangan parti pada pilihan raya akan datang.

“Ketiga, beliau juga mengingatkan tentang perlunya untuk meninggalkan budaya-budaya lama. Politik pada hari ini sudah berubah dan formula-formula yang ada mungkin kita kena lihat dengan mengambil kira perkembangan semasa. Selain itu, kita perlu terus menjuarai media sosial kerana politik baharu yang ada di hadapan kita‘digital politik’.

“Mahu tidak mahu, ia merupakan alat yang paling berpengaruh dalam menentukan pilihan parti ataupun calon dalam setiap pilihan raya. Jadi, keempat-empat prasyarat ini adalah sangat penting dalam usaha untuk mengembalikan semula kekuatan UMNO/BN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 ini.

“Presiden telah mengingatkan bahawa dalam kerjasama yang ada pada hari ini, kita melihat dari segi kedudukan dan bilangan parti. Sebagai contoh, berapa kerusi yang ada… sekiranya kita mempunyai hubungan baik, maka sudah tentunya bilangannya akan bertambah kepada UMNO.

“Jadi, kerjasama ini adalah sangat penting namun kita perlu menyusun strategi yang baik untuk menentukan kemenangan UMNO/BN itu sendiri dalam pilihan raya akan datang,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79