UMNO Perlu Perkukuh Politik Bandar Demi Tawan Hati Pengundi – Abdul Razak

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Ketua UMNO Bahagian Kepong, Tpr Abdul Razak Abdul Rahman menegaskan bahawa UMNO mesti berani memperkukuhkan peranan dalam politik bandar  jika benar-benar ingin menawan semula hati rakyat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menurut beliau, kegagalan UMNO menembusi kawasan bandar akan mengakibatkan parti terus kehilangan peluang penting untuk mempengaruhi kelompok pengundi perantau iaitu mereka yang tinggal di bandar tetapi pulang ke kampung untuk mengundi.

“Ramai pengundi hari ini tinggal dan bekerja di bandar, namun ketika PRU lalu, mereka balik kampung untuk mengundi di luar bandar walaupun mereka menetap di bandar. Fenomena ini memberi impak yang besar kepada pola pengundian nasional.

“Jika UMNO terus lemah di bandar, maka kita sedang melepaskan peluang keemasan untuk mempengaruhi minda dan aspirasi pengundi perantau ini. Golongan ini bukan sahaja terdiri daripada anak-anak muda yang bekerja atau menuntut di bandar, malah mereka juga membawa pulang pengaruh serta pandangan yang diperoleh semasa berada di kawasan urban.

“Mereka yang sangat kritikal dalam menentukan kemenangan di kerusi-kerusi luar bandar kerana pengundi perantau inilah yang sering menjadi agen penyampai maklumat kepada keluarga dan komuniti asal mereka,” katanya.

Persidangan terbabit dirasmikan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pada Ahad. Turut hadir Wakil Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii serta kepimpinan UMNO bahagian.

Ujarnya, jika gagal mendekati dan meyakinkan pengundi dengan naratif perjuangan UMNO yang segar dan relevan, maka parti bakal kehilangan satu segmen penting yang mampu mencorak arus sokongan semasa pilihan raya.

Seterusnya Abdul Razak berkata, adalah penting parti mempunyai kehadiran yang kukuh serta naratif yang jelas agar mesej perjuangan parti terus menembusi hati para pengundi bandar, khususnya golongan muda dan pengundi perantau.

“Kita mesti ada kehadiran, naratif dan strategi yang kuat di kawasan bandar, supaya suara kita sampai dan kekal dalam hati para pengundi, tidak kira di mana mereka mengundi.

“Kegagalan menguasai naratif di kawasan bandar hanya akan merugikan parti dalam jangka masa panjang,” katanya.

Tegasnya lagi, ini bukan masa untuk selesa di zon selamat. Ini masa untuk bergerak ke hadapan, dengan yakin dan berani. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79