Perkukuh Peranan Ibu Bapa, Awang Aslee Rasmi Bengkel Keibubapaan KEMAS

BEAUFORT, 7 Julai — Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat, telah merasmikan Bengkel Kemahiran Keibubapaan Tabika dan Taska KEMAS peringkat DUN Kuala-Penyu bagi Tahun 2025 pada Sabtu.

Jelasnya, pendidikan awal kanak-kanak merupakan asas penting kepada pembinaan sahsiah dan masa depan anak-anak, dan usaha mendidik tidak boleh hanya diletakkan di bahu guru semata-mata, sebaliknya perlu digembleng bersama oleh semua pihak termasuk ibu bapa dan komuniti.

“Program sebegini amat penting dalam usaha memperkasakan ibu bapa dengan kemahiran dan pengetahuan keibubapaan, yang secara langsung memberi impak positif kepada perkembangan kanak-kanak,” katanya.

Bengkel anjuran KEMAS Daerah Beaufort itu berlangsung dengan meriah dan dihadiri oleh para guru Tabika/Taska, barisan kepimpinan UMNO Beaufort, para Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta para ibu bapa dan kanak-kanak dari seluruh DUN Kuala-Penyu.

Turut hadir memeriahkan program ialah Helen Lawrence, Penyelia Pendidikan Awal Kanak-Kanak Parlimen Beaufort; Juriffah Safllie, Pengerusi Panel Penasihat Kolej Komuniti Beaufort merangkap Ketua Wanita UMNO Beaufort; Mohd. Firdaus Shaharudin, Pegawai Sains Pemakanan dari Klinik Kesihatan Kuala-Penyu; Ak. Mohd. Yazri Ak. Mohd. Yahya, Ketua Pemuda UMNO Beaufort; Mariani Minin, Pengerusi TASKA KEMAS PPAK Pekan Kuala-Penyu; serta guru-guru dan Pengerusi-Pengerusi JKDM dari seluruh kawasan DUN Kuala-Penyu.

Dalam kesempatan ini Awang Aslee menyatakan penghargaan kepada KEMAS Daerah Beaufort atas penganjuran program yang sangat bermakna ini serta atas kesudian menjemput beliau merasmikannya.

Program ini menjadi manifestasi komitmen KEMAS Daerah Beaufort dalam memperkukuh jaringan pendidikan awal di peringkat akar umbi serta menjadikan ibu bapa sebagai rakan strategik dalam pembangunan anak-anak. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79