Jadikan Mesyuarat Pemuda UMNO Platform Perkukuh Parti – Hairi

KOTA MELAKA, 6 Jun – Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Hairi Md Shah berkata mesyuarat pergerakan itu yang sedang berlangsung di seluruh negara merupakan platform yang terbaik untuk masing-masing melontarkan pandangan.

Menurut beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Johor, medan berkenaan adalah medan untuk menyuarakan apa sahaja pandangan dan bukannya melontarkan di media sosial.

“Ini adalah platform kita untuk suarakan apa sahaja…inilah tempat kita adu permasalahan dan mencari penyelesaian.

“Kita berada dalam dewan ini bagi memberikan semangat kepada pucuk pimpinan untuk sama-sama bergerak ke depan dan tidak dilihat bekerja keseorangan sebaliknya berganding bahu bersama-sama memperkukuhkan lagi perjuangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Pemuda UMNO Kota Melaka yang diadakan di sini petang tadi.

Turut serta Ketua UMNO bahagian, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, Ketua Pemuda UMNO bahagian, Asyraf Zainal dan barisan kepimpinan empat peringkat serta perwakilan yang lain.

Dalam pada itu beliau melihat semangat ahli Pemuda seluruh negara cukup baik sepanjang mesyuarat diadakan, namun ianya perlulah disusuli dengan tindakan susulan lain supaya parti terus mendapat keyakinan rakyat.

“Semalam saya di Kapar, Selangor cukup ramai…begitu juga tempat-tempat lain. Saya percaya insya Allah UMNO akan bangkit dengan kebangkitan bersama kita semua nanti

“Masing-masing buat ‘homework’ bagaimana kita nak mendekati anak muda di luar sana. Apa pun strategi kita bincang bersama dan insya Allah kita gerak dengan satu langkah bersama seluruh kepimpinan untuk pastikan kejayaan parti  khususnya berdepan cabaran mendatang,” tambahnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79