Lassim Jadikan Suka Duka Perjuangan UMNO ‘Azimat’ Perjuangan

Sri Gading, 6 Jun – Perjuangan UMNO yang kekal hingga ke hari ini bukanlah perjalanan yang mudah apatah lagi berdepan dengan pelbagai cabaran pasca Pilihan Raya Umum (PRU) pada tahun 2018.

Ketua UMNO bahagian Sri Gading, Datuk Mohd Lassim Burhan berkata cabaran demi cabaran selepas buat pertama kalinya UMNO/Barisan Nasional (BN) tidak lagi memegang teraju pemerintahan negara menambahkan cabaran yang ada.

“Mengurus tadbir parti dan perjuangan  hingga ke hari ini bukan satu perkara mudah dan memerlukan iltizam serta kesungguhan yang berterusan. Malah mengatur parti bukan semacam terbalikan tapak rangan.

“UMNO yang dahulu selepas kalah bercampur dengan pelbagai peristiwa suka dan duka. Usia UMNO yang memasuki 79 tahun…lenguh dan pening itu biasa namun berkat kesungguhan kepimpinan Alhamdulillah UMNO terus konsisten melangkah ke depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat UMNO bahagian Sri Gading yang disempurnakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, di sini Sabtu. Turut serta pimpinan dan para perwakilan yang lain.

Lasim seterusnya menegaskan parti berkenaan bukanlah parti ekslusif namun sebuah perjuangan yang inklusif terdiri daripada pelbagai kelompok dan lapisan peringkat kumpulan masyarakat.

“UMNO parti rakyat dan tidak ekslusif kepada satu kumpulan tertentu sahaja sebaliknya inklusif kepada semua…dalam parti ada pelbagai golongan dan apabila terlalu ramai biasalah…pelbagai ragam akan kita dapat lihat namun Alhamdulillah perjuangan terus ke depan bersama-sama tangani cabaran,” tambahnya.

Dalam pada itu Lassim turut berharap pimpinan parti melihat beberapa perkara yang menjadi keluh kesah masyarakat dan mencari jalan penyelesaian sebaiknya.

“Kami di Sri Gading faham pimpinan parti telah lakukan pelbagai usaha untuk meningkatkan lagi parti dan kita di akar umbi juga faham apa yang telah dirancang. Namun perkara seperti kenaikan SST dan pelbagai perkara lain yang tempiasnya terkena rakyat harus dilihat secara mendalam,” ujarnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79