Dr Asyraf Wajdi Tegaskan UMNO Tidak Pernah Lari Daripada Perjuangan Bela Agama, Bangsa, Negara
KUALA LUMPUR, 6 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa UMNO kekal konsisten dalam perjuangannya membela agama Islam, bangsa Melayu, dan tanah air sejak penubuhannya.
Dalam ucapannya semasa merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Bukit Bintang, hari ini, beliau lantang membidas pihak-pihak yang sebelum ini melabelkan UMNO lari dari perjuangan asal kerana bekerjasama dengan Dap dalam Kerajaan Perpaduan.
“UMNO akan terus kekal mempertahankan prinsip perjuangan khususnya berkenaan kedudukan Islam dan Melayu sebagai keindukan Islam-Melayu-Bumiputera dalam realiti kemajmukan Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
“Malah sifat UMNO dari dahulu iaitu sejak penubuhannya kekal memperjuangkan Islam dan ia kekal sehingga kini sekalipun berada dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan dan Malaysia Madani,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian UMNO Bahagian Bukit Bintang yang diketuai oleh Datuk Tengku Azman Tengku Zainal Abidin, hari ini.
Beliau juga menyentuh soal pembentukan kerajaan perpaduan, menyatakan keputusan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri adalah hasil konsensus 18 parti politik, termasuk UMNO dan Dap.
“Inilah realiti politik hari ini iaitu demi kestabilan negara, kita bekerjasama atas asas prinsip dan muafakat, bukan sekadar retorik,” tegas beliau.
Dr Asyraf Wajdi turut menyelar parti-parti yang kini menampilkan diri sebagai lebih “Melayu daripada Melayu”, namun sebelum ini mengkafirkan UMNO atas dasar politik.
“Kalau benar ikhlas nak perjuangkan perpaduan Melayu, kembalilah ke pangkal jalan. Masuk semula ke dalam UMNO, kerana semua parti-parti ini asalnya lahir daripada rahim UMNO,” ujarnya.
Beliau turut menekankan bahawa UMNO tidak pernah angkuh dalam memperjuangkan Islam dan Melayu, sambil tetap menjaga hak semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.
“Selama lebih 60 tahun memerintah, UMNO berjaya mengekalkan keharmonian antara kaum. Lihat saja Malaysia, tiada negara lain yang meraikan pelbagai agama dalam bentuk cuti umum seperti kita misalnya Thaipusam, Wesak, Tahun Baru Cina, Krismas iaitu semuanya diraikan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa walaupun Malaysia negara majmuk, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan hak keistimewaan orang Melayu serta Bumiputera tidak boleh dipertikaikan kerana ia termaktub dalam Perlembagaan.
“Ini adalah hasil kontrak sosial ketika merdeka, satu persetujuan antara kaum yang menjadi asas kepada kestabilan negara. Oleh itu, semua pihak yang ingin bekerjasama dengan UMNO wajib menghormati pendirian dan prinsip perjuangan parti ini.” – UMNO Online