UMNO Bukit Bintang Perkasa Gerak Kerja, Tampil Inisiatif Baharu Demi Masa Depan

KUALA LUMPUR, 7 Julai – UMNO Bahagian Bukit Bintang membuktikan kesungguhan dalam mengukuhkan kedudukan parti di tengah-tengah ibu kota menerusi pelbagai penstrukturan strategik dan inisiatif baharu.

Ketua bahagiannya, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin menegaskan bahawa UMNO Bukit Bintang tidak pernah berdiam diri, walaupun kawasan itu kini diwakili oleh Dap dengan majoriti lebih 40,000 undi.

“Tanpa kerusi tidak bermakna kami akan bergoyang kaki. Setiap ahli UMNO tanpa mengira jawatan wajib menyumbang kepada pengukuhan parti,” katanya ketika berucap dalam persidangan UMNO Bahagian Bukit Bintang, yang dirasmikan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, semalam.

Ujar Tengku Azman, antara pencapaian yang diketengahkan adalah penubuhan Jabatan Pengundi Luar (JPL) iaitu satu modul gerak kerja yang dimartabatkan sebagai model oleh UMNO Wilayah Persekutuan sebagai sistem sokongan menyeluruh untuk mendekati pengundi luar bandar yang berhijrah ke kota, dan berpotensi untuk digunapakai di kawasan lain.

“JPL atau Jabatan Pengundi Luar adalah pelan jangka panjang dimana kita semua sedar bahawa kekalahan BN di luar bandar salah satu sebabnya adalah pengundi luar. Mereka tidak disantuni dan tidak dipeduli malah terasa terpinggir tanpa parti ditengah-tengah Ibu Kota kosmopolitan.

“Di sinilah peranan JPL yang bertindak sebagai operating system yang boleh digerakkan oleh sesiapa pun baik NGO ataupun aktiviti program yang dirancang untuk mendekati mereka.”

Menurut Tengku Azman, keberkesanan JPL telah terbukti apabila ia membantu jentera BN memenangi PRK Nenggiri baru-baru ini.

Selain itu, UMNO Bukit Bintang turut memperkenalkan Sekretariat Perundangan yang diketuai oleh Datuk Lukman Sherrif Alias dan YM Tunku Alizan Raja Alias yang bertujuan untuk memperjuangkan isu-isu perundangan berkaitan Islam dan kepentingan umum.

Dari segi ekonomi, Tengku Azman menyeru agar usaha memperjuangkan nasib peniaga Melayu di ibu kota diteruskan.

Beliau menggesa tindakan susulan diambil terhadap inisiatif mewartakan Jalan Tuanku Abdul Rahman sebagai Zon Ekonomi Warisan Bumiputera yang telah diumumkan Presiden UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO yang lalu.

“Inisiatif ini penting untuk mempertahankan jati diri bangsa Melayu di tengah arus pembangunan bandar,” ujarnya sambil menyatakan komitmen untuk menganjurkan pelbagai aktiviti berimpak tinggi seperti hackathon politik dan bengkel kepimpinan anak kota.

Beliau turut menekankan kepentingan pendekatan digital dalam usaha menyantuni generasi muda, termasuk melalui platform seperti TikTok, Instagram dan YouTube, serta pewujudan Task Force Profesional Muda daripada kalangan anak muda Bukit Bintang.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Datuk Dr Asyraf atas keprihatinan terhadap permohonan-permohonan kepada MARA oleh ahli-ahli UMNO Bukit Bintang yang menurutnya, telah banyak menerima manfaat.

“Tugas mempertahankan parti bukan sekadar tanggungjawab pemimpin, tetapi amanah setiap ahli UMNO termasuklah kami di Bukit Bintang,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79