UMNO Tubuh Sekretariat Perundangan, Pendekatan Tegas Tangani Fitnah – Dr Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 6 Julai – UMNO menubuhkan sebuah Sekretariat Perundangan bagi menangani isu-isu umum, terutamanya berkaitan hal-hal perundangan yang melibatkan Islam, menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata, langkah ini diambil berikutan suasana media sosial yang semakin agresif dan dipenuhi dengan pelbagai bentuk fitnah serta persepsi yang tidak benar terhadap pemimpin-pemimpin UMNO.

“Selama ini, UMNO bukanlah sebuah parti yang mengamalkan budaya menyaman mana-mana pihak. Namun, dalam keadaan semasa, sudah tiba masanya UMNO bertindak lebih agresif, mengambil pengajaran daripada parti lain yang begitu tegas menyaman pihak yang menyebar fitnah dan mencetuskan persepsi tidak benar,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Bukit Bintang yang diketuai oleh Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abididn, di sini, hari ini.

Dr Asyraf memaklumkan hal tersebut berikutan mengangkat usul daripada UMNO Bahagian Bukit Bintang berkaitan penubuhan sekretariat yang telah diterima dan akan terus dilaksanakan oleh Ibu Pejabat UMNO.

“Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada UMNO Bukit Bintang atas cadangan ini. Sekretariat ini akan memastikan tindakan undang-undang diambil terhadap mana-mana pihak yang memfitnah pemimpin UMNO,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau juga memaklumkan bahawa UMNO akan menubuhkan sebuah Jabatan Pengundi Luar bagi mendekati pengundi yang menetap di luar kawasan Parlimen mereka khususnya di kawasan Lembah Klang.

“Kita mendapati bahawa hampir 40 peratus daripada pengundi di beberapa Parlimen negeri lain kini menetap di luar kawasan, khususnya di Lembah Klang seperti Wilayah Persekutuan dan Selangor.

“Sehubungan itu, dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) baru-baru ini, satu cadangan daripada UMNO Bahagian Bukit Bintang yang dibawa oleh Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, yang diketuai oleh Datuk Seri Johari Ghani, telah diterima. Cadangan tersebut adalah untuk menubuhkan Jabatan Pengundi Luar sebagai satu inisiatif strategik bagi mendekati dan memperkukuh hubungan dengan para pengundi di Parlimen-parlimen sasaran UMNO dan Barisan Nasional.”

Ujarnya, melalui jabatan ini, pelbagai pendekatan akan digarap termasuklah penganjuran program-program komuniti serta penyaluran bantuan dari semasa ke semasa bagi memastikan sokongan yang berterusan kepada parti.

“Penubuhan jabatan ini penting untuk kita menggarap pelbagai pendekatan, mengadakan program dan menyalurkan bantuan kepada pengundi luar kawasan. Ini adalah sebahagian daripada strategi UMNO dan Barisan Nasional untuk mendekati semula pengundi-pengundi sasaran,” ujar Dr Asyraf lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79