Akar Umbi UMNO Perlu Satu Hati, Fikiran Dan Tindakan – Manndzri

KUBANG PASU, 5 Julai – Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib menyeru ahli-ahli UMNO di semua peringkat untuk terus bersatu hati dan bergerak seiring dalam usaha memperkukuh kembali parti.

Jelas beliau menekankan pentingnya kesatuan dalam hati, pemikiran dan tindakan demi memastikan parti terus relevan dan kembali dominan di persada politik tanah air.

“Kita mesti satu dalam hati, fikiran dan tindakan (wahdatul qalb fiqh dan amal). Teruslah satu, setia dan khidmat, kita buat tugas dan kerja sebagai peranan sayap- sayap parti di bahagian dan cawangan.

“UMNO akan kembali dominan, kita akan bangkit, semuanya atas kehendak Allah AWJ kerana UMNO adalah ‘untuk membela nasib orang’. Moga Allah membantu kita, rakyat sedang menilai kompitensi pasukan Kerajaan Perpaduan dan melihat kebolehan pimpinan kita (BN). Kita zahirkan kerja buat yang baik, rakyat bijak menilai, moga kita akan bangkit kembali dalam islah yang memacu intifada, Insya Allah.

“UMNO telah meniup kembali semangat perjuangan, menyuburkan benih keyakinan, dan mengangkat kembali maruah sayap-sayap parti yang telah berpuluh tahun menjadi benteng, suara dan nadi kepada parti keramat ini,” beliau berkata demikian ketika merasmikan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kubang Pasu, di Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) semalam.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Omar, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Zainol Abidin Mohamad, Naib Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Hasmuni Hassan serta perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri.

Mannzdri yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tenggara menegaskan bahawa UMNO bukanlah sebuah parti yang rapuh, sebaliknya kekal kukuh hasil kesetiaan dan komitmen sayap-sayapnya yang tidak pernah luntur dalam perjuangan.

“UMNO bukan parti yang rapuh. Wanita UMNO telah membuktikan kesetiaan mereka tanpa syarat dan turun padang, mengisi dapur rakyat, mendakap nadi pengundi dengan kasih.

“Pemuda UMNO terus gagah di medan perjuangan, mendepani fitnah, membongkar fakta, dan menjadi benteng terakhir parti. Tidak ketinggalan Puteri UMNO tetap segar dengan wajah baru, menjadi jambatan generasi muda, mengangkat suara dan semangat nasionalisme yang tidak luntur,” katanya lagi.

Seterusnya kata Mannzdri menjelaskan politik tanah air sedang bergolak, pelbagai persepsi dilontarkan pada UMNO, tetapi parti ini tidak mudah dilecehkan.

“Persepsi sentiasa berubah, kuasa berganti tangan, dan rakyat makin bijak menilai. Dalam arus deras ini, UMNO tidak terlepas daripada badai ujian. Kita pernah tewas, dihina, diperlekeh. Namun ketahuilah, sejarah UMNO bukan hanya sejarah menang, tapi sejarah bangkit selepas kalah.

“Perjuangan ini bukan hanya tentang kuasa. Ia tentang amanah dan khidmat. UMNO ditubuhkan bukan untuk mengejar kedudukan, tapi untuk memperjuangkan bangsa, memelihara agama, dan menjunjung kedaulatan negara,” jelasnya.

Tegasnya, ahli parti bukannya boneka, bukan juga pengikut buta tetapi adalah penentu masa depan tanah air ini. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79