Wanita UMNO Perlu Bangkit Dengan Strategi Baharu – Norliza
SHAH ALAM, 5 Julai – “Perjuangan politik wanita tidak boleh sekadar bertahan, tetapi perlu bangkit dengan strategi dan keberanian yang baharu,” tegas Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim.
Beliau mengingatkan bahawa kekalahan lalu seharusnya menjadi “wake-up call” untuk seluruh jentera Wanita agar segera bangkit dengan strategi yang lebih mantap dan tersusun demi memperkukuh kembali parti.
“Dalam perjuangan, kita perlu sabar dan redha. Kalah seketika tidak bermaksud kalah selamanya. Yang penting ialah keupayaan kita untuk bangkit dengan lebih tersusun dan bersedia mengikut kadar semasa,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi PTPTN berkata demikian dalam ucapan semasa Perasmian Penutup Mesyuarat Wanita UMNO Bahagian Shah Alam, di sini, hari ini.
Norliza turut menekankan bahawa peranan Wanita UMNO bukan sekadar menjadi penyokong atau penggerak di akar umbi, tetapi harus menjadi pencetus solusi dan pelaksana strategi yang mampu membantu parti kembali relevan dalam landskap politik semasa.
“Kita tidak mahu hanya dilihat sebagai kumpulan yang ramai tetapi tidak menyumbang strategi. Wanita UMNO sanggup meninggalkan keluarga demi perjuangan dan ini bukti keikhlasan kita terhadap agama, bangsa dan negara,” katanya.
Beliau turut menyeru agar semua ahli Wanita UMNO memahami cabaran dalam Kerajaan Perpaduan dan bersama-sama memperjuangkan hak-hak masyarakat, khususnya orang Melayu, dalam ruang pentadbiran yang tersedia.
Ujarnya, isu-isu semasa seperti pelaksanaan Sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (SST) juga dibangkitkan sebagai contoh perkara yang perlu ditangani secara konstruktif oleh UMNO agar dapat menjadi suara penyelesai masalah, bukan sekadar pengkritik.
Dalam ucapannya, beliau turut menyentuh kepentingan penguasaan media sosial sebagai medan kempen baharu yang harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh jentera wanita.
“Dulu kita alpa. Kita fikir kejayaan lalu sudah cukup untuk menang. Tapi zaman sudah berubah. Kini kita perlu faham algoritma media sosial. Kita perlu bergerak ke hadapan, latih wanita guna platform digital untuk kempen. Tidak ada yang mustahil jika kita mahu,” ujarnya lagi.
Turut bersama hadir dalam persidangan ini ialah Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari selain Ketua Wanita Bahagian terbabit, Jumaeah Masdi serta kepimpinan UMNO Bahagian. – UMNO Online