Krisis Air Jejas Industri Pelancongan Sabah, Pemuda UMNO Desak Tindakan Segera
KOTA KINABALU, 4 Julai – Krisis bekalan air yang berlarutan di Sabah terus menimbulkan keresahan, kali ini turut memberi impak besar kepada sektor pelancongan negeri sehinggakan beberapa hotel di kawasan tumpuan pelancong dilapor terpaksa menolak tempahan tetamu akibat ketiadaan bekalan air yang konsisten.
Bendahari Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Naim Moktar, dalam satu kenyataan menzahirkan kebimbangan serius terhadap isu tersebut dan mendesak Kerajaan Negeri Sabah untuk segera tampil dengan penyelesaian konkrit.
“Sektor pelancongan dan perhotelan merupakan antara penyumbang terbesar kepada KDNK Sabah serta sumber pendapatan utama rakyat negeri ini. Gangguan bekalan air bukan sahaja menjejaskan operasi industri, malah mencemarkan imej Sabah sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ASEAN,” katanya.
Beliau turut menggesa kerajaan negeri agar mengambil akauntabiliti penuh terhadap krisis ini serta melaksanakan pelan tindakan menyeluruh yang meliputi penyelesaian jangka pendek dan panjang.
Antara cadangan yang dikemukakan termasuklah penyaluran air alternatif kepada hotel dan resort yang terjejas, pembangunan infrastruktur air yang mampan serta skim pampasan atau insentif untuk mengembalikan keyakinan pelabur.
“Sabah sememangnya kaya dengan keindahan alam dan budaya yang unik, tetapi semua ini tidak bermakna sekiranya asas seperti bekalan air tidak dapat dijamin.
“Sudah tiba masanya pihak Kerajaan Sabah bertindak serius, bukan sekadar memberikan janji, tetapi menunjukkan hasil,” tegas beliau lagi. – UMNO Online