PRN Sabah: UMNO Sudah Bersedia, Namun Hati-Hati Dinamik Politik – Shamsul Anuar

JOHOR BAHRU,5 Julai – UMNO sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka diadakan dalam masa terdekat, namun sentiasa berhati-hati dengan dinamik politik yang berlaku.

Perkara itu dimaklumkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dengan langkah tertentu turut diambil untuk memperkukuh jentera parti bagi menghadapi PRN itu.

“Tentunya persiapan dari segi jentera di peringkat kawasan yang akan UMNO bertanding sedang giat dilakukan…. ia bukan baharu, tetapi dah lama dibuat.

“Jadi, soal persiapan kita dah kukuhkan jentera, keyakinan kita dah siap sepenuhnya. Walau demikian, kita perlu bersiap sedia dari aspek kemungkinan yang berlaku kerana dinamiknya politik di Sabah ini.

“Soal lain seperti calon dan sebagainya itu di peringkat Pusat dan negeri akan putuskan,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Iskandar Puteri 2025 di sini, hari ini.

Sebelum ini UMNO dilapor menyasarkan untuk bertanding antara 20 hingga 30 kerusi pada PRN Sabah kali ini dengan harapan semua calon parti itu dapat memenangi kerusi ditandingi.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, UMNO yakin dengan kekuatan parti di kerusi dimenangi sebelum ini.

“Berdasarkan bacaan, memang kita ada ruang dan peluang. Sebenarnya, melihat kepada kerusi parti kita sebelum ini, kita memang ada kekuatan di situ,” katanya.

Mengenai keyakinan parti mengekalkan kemenangan dua pertiga dalam PRN Melaka dan Johor pula, beliau menegaskan ia bergantung sokongan rakyat.

Beliau mengakui, parti sedar perubahan sokongan rakyat, namun sentiasa bertindak meningkatkan serta memperkukuh parti bagi memastikan sokongan kekal kepada Barisan Nasional (BN).

“Walaupun PRN Melaka dan Johor jauh lagi, kerja yang dibuat oleh kerajaan negeri, parti atau wakil rakyat sentiasa ke arah kita hendak kukuhkan parti untuk pastikan kita kekal dapat sokongan rakyat.

“Kita tak tunggu pilihan raya baru kuat bekerja, malah sebenarnya parti kita kerja selepas sahaja tamat satu-satu pilihan raya secara konsisten, dengan strategi tertentu,” jelasnya.

Terdahulu ketika berucap merasmikan mesyuarat itu, Ahli Parlimen Lenggong itu mengingatkan semua ahli parti menjadikan kemenangan dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini pembakar semangat.

“Jadikan kemenangan di PRK Nenggiri, Mahkota dan Ayer Kuning sebelum ini sebagai pembakar semangat untuk kita bangkit lebih kuat.

“Sebenarnya rakyat nak kita kembali seperti mana di Johor, jadi jagalah parti kita. Tiada parti yang boleh beri harapan terbaik. Yakinlah dengan UMNO dan BN.

“Jangan sesekali leka kerana politik sifatnya dinamik, boleh berubah sekelip mata,” katanya. -BH

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79