Rakyat Pahang Jangan Terpedaya Dengan Mainan Persepsi Wakil Rakyat Pas
KUALA LUMPUR, 4 Julai – Ketua Pemuda UMNO Negeri Pahang Mohd Kamil Ibrahim menasihati rakyat negeri itu agar tidak mudah terpengaruh dengan mainan persepsi yang sering dibawa oleh Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pas.
Menurut beliau, Pas kini dilihat hanya mencetuskan polemik politik tanpa mampu menandingi pencapaian dan kebajikan yang telah dilaksanakan oleh Barisan Nasional (BN) dan kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
“Rakyat Pahang jangan terpedaya, jangan tertipu dengan Ahli Parlimen dan ADUN-ADUN Pas. Mereka hanya mahukan mainkan satu polemik dan tidak mampu lagi mengatasi pencapaian dan kebajikan yang telah dilaksanakan BN iaitu kerajaan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang telah menjaga kebajikan dan bantuan rakyat bermula dari yang baru lahir sehingga ke liang lahad.
“Saya harap rakyat Pahang harus celik dan pada Pemuda Pas haruslah pandang kiri dan kanan agar tidak mengena balik dan lihatlah hari ini sikap mereka (Pas) apabila tidak mampu ‘deliver’ maka mencari kesalahan orang lain,” katanya menerusi satu hantaran video yang dipaparkan di Facebooknya.
Mengulas lanjut, Kamil yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Raub menegaskan ADUN-ADUN pembangkang Pahang turut mendapat tambahan peruntukan daripada RM30,000 ke RM60,000 setiap seorang.
“Ada juga sebahagian ADUN terutamanya ADUN Jengka yang memperuntukkan wang tersebut untuk kesemua Tadika Pasti dan peruntukan lain tidak diberikan kepada orang lain. Terdapat empat Tadika Pasti yang menerima RM15,000 dan bagaimana yang lain? Mereka tidak menerimanya.
“Saya merasa hairan apabila peruntukan ini tidak diterima oleh ahli Pas. Janganlah terlalu munafik dan kali ini menunggang rakyat dan mereka (Pas) selalu menuduh bahawa ahli UMNO selalu menerima peruntukan tersebut,” tegasnya.
Seterusnya kata Kamil lagi, bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri tidak pernah bersifat kepartian atau menyisihkan mana-mana pihak.
“Sebagai contoh, masa ribut baru-baru ini adakah orang UMNO yang kena ribut dan sebagainya? Selain itu Rumah Rakyat Pahang (RRP), ADUN Padang Tengku, Datuk Mustapa Long memberikan dua rumah percuma berharga RM75,000 kepada ahli Pas,” ujarnya. – UMNO Online