Pensijilan Halal Bukan Sahaja Keperluan Syariah, Tetapi Kelebihan Komersial

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor menyatakan komitmen penuh dalam menjayakan Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata khususnya dalam aspek pemudahcara kepada peniaga-peniaga yang beroperasi di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk memperoleh pensijilan halal.

“Saya percaya, pensijilan halal bukan sahaja satu keperluan syariah, tetapi juga satu kelebihan komersial. Ia meningkatkan keyakinan pengguna, memperluaskan pasaran, dan membuka peluang kepada peniaga tempatan untuk menembusi pasaran lebih besar termasuk potensi eksport ke luar negara yang sangat bergantung kepada jaminan halal.

“Bagi pihak Kerajaan Tempatan, kita akan memastikan proses permohonan sijil halal dipermudah melalui sesi bimbingan, dokumentasi yang seragam, serta pengiktirafan terhadap premis yang bersih, selamat dan patuh syariah. Ini termasuklah penyediaan sesi latihan, kolaborasi dengan agensi halal, dan integrasi sistem digital yang memudahkan semakan dan pemantauan.

“Kita juga akan memastikan bahawa gerai-gerai makanan, medan selera, kiosk PBT dan premis perniagaan kecil tidak terpinggir daripada arus pensijilan ini. Mereka juga layak untuk dibimbing dan disokong agar dapat meluaskan rezeki mereka dalam keadaan yang lebih berkat dan diyakini,” katanya.

Mohd Jafni berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook berkongsi kunjung hormat oleh Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid di pejabatnya, di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor.

Mohd Jafni dalam pada itu memaklumkan Pelan Kemajuan Halal ini adalah usaha kolektif Kerajaan Negeri Johor di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Katanya ia bagi memperkukuh ekosistem ekonomi Islam, memartabatkan syiar halal dan  memperkasa rakyat Johor dalam dunia keusahawanan moden.

Beliau turut memaklumkan akan terus bekerjasama rapat antara portfolio kerajaan negeri bagi memastikan slogan Maju Johor bukan sahaja diterjemah dalam pembangunan fizikal, tetapi juga dalam pembangunan rohani, ekonomi dan kesejahteraan umat Islam. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79