Noraini Ziarah Pelajar UPSI Kemalangan Bas, Sampaikan Bantuan
KUALA LUMPUR, 4 Julai – Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berbesar hati mengunjungi mangsa nahas kemalangan bas yang melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bulan lalu di Kuala Besut dan Setiu.
Beliau yang juga Ketua Wanita UNMNO Malaysia menyantuni seramai tujuh orang mangsa iaitu Rohadatul Aisy Mohd Zaki, Aimi Nasuha Che Azmi, Nurrin Najwa Mohd Azmi, Muhammad Zahim Zakri Mokharizam, Nurul Yusrina Yusof, Abdul Wafiy Kamaruddin dan Nur Izzati Md Rajmi pada Khamis.
“Saya turut meluangkan masa menziarahi Nurul Aslina Che’Norizan, bekas pelajar UPSI yang terlibat dalam kemalangan jalan raya dan kini menjalani rawatan.
“Dalam sesi ziarah ini, kami turut memberikan sokongan moral kepada mereka yang masih mengalami trauma akibat insiden tersebut,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Noraini berkata sebagai tanda keprihatinan dan kebersamaan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN) telah menyampaikan sumbangan Program PEKA kepada semua mangsa terlibat.
Menurut beliau bantuan ini juga adalah sebahagian daripada inisiatif kementerian dalam memberikan sokongan berterusan kepada individu dan keluarga yang terkesan dengan bencana atau musibah.
“Selain itu, saya turut menyampaikan bakul makanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sumbangan dari Jabatan Pembangunan Wanita kepada semua mangsa,” ujar beliau. – UMNO Online