OKU Tular Di Media Sosial Sudah Diberi Perhatian, Ada Bantuan Bulanan – ADUN Behrang
KUALA LUMPUR, 3 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin memaklumkan pihaknya sentiasa peka dengan kebajikan rakyat di kawasan terutama mereka yang kurang bernasib baik.
Beliau berkata ini termasuk membabitkan individu bernama Jefree Regan yang viral di media sosial ekoran bantuan diberikan seorang pempengaruh.
Salina memaklumkan, sebelum ini pihaknya sudah membantu Jefree mendaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan menerima bantuan secara bulanan.
Dalam pada itu Salina turut memaklumkan Pusat Khidmat ADUN juga turut membantu meliputi kewangan dan kotak makanan di samping sumbangan oleh Pegawai Khas Menteri Besar, Zaidi Aziz.
“Saya menerima maklumat berkenaan video tular yang melibatkan Jefree Regan. Ramai yang berkongsi video tersebut dengan pelbagai reaksi dan persoalan.
“Untuk makluman semua, Jefree merupakan individu Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal berdaftar dengan JKM sejak tahun 2013, selepas mengalami kecederaan kekal akibat kebakaran yang menyebabkan kehilangan kaki kirinya.
“Beliau pernah menerima Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB) namun bantuan tersebut ditamatkan apabila beliau mula menerima bantuan tetap daripada Baitulmal sebanyak RM400 sebulan, iaitu melebihi jumlah bantuan BTB. Beliau juga turut menerima bantuan beras secara berkala,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau dalam pada itu berkata pihaknya juga sentiasa terbuka menerima cadangan serta saluran bantuan yang ingin disampaikan kepada individu yang memerlukan.
“Perlu dimaklumkan ini bukan kali pertama (Jefree Regan) tular. Saya amat menghargai keprihatinan masyarakat.
“Namun dalam berkongsi dan menyebar sesuatu, marilah kita sama-sama menjaga maruah dan sensitiviti insan lain. Biarlah niat membantu disalurkan dengan penuh hikmah dan kasih sayang,” ujar beliau. – UMNO Online