GOTV UMNO Sabah Bukti Komitmen Tinggi Jentera Menangi PRN – Awang Aslee

BEAUFORT, 3 Julai – ‘Get Out The Vote’ (GOTV) UMNO Sabah yang berlangsung baru-baru ini memperlihatkan komitmen dan kesiapsiagaan jentera parti dalam memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat, menyifatkan program GOTV ini sebagai medan latihan terbaik untuk memperkukuh gerak kerja parti dan menyusun strategi yang lebih berkesan dalam usaha menawan kembali kepercayaan rakyat.

“Kita melihat kesungguhan luar biasa yang ditunjukkan oleh jentera di peringkat Zon 5 dan 6. Semua bergerak dalam satu pasukan, fokus kepada matlamat untuk menang. Ini satu petanda positif dan menunjukkan bahawa UMNO di Sabah masih kukuh, bersedia dan berdaya saing,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut beliau, program seumpama ini amat penting untuk memberi pendedahan yang lebih mendalam kepada jentera mengenai strategi pengundi sasaran, pendekatan komunikasi berkesan serta penggunaan data dalam memobilisasi sokongan.

“GOTV bukan sekadar slogan atau kempen semata-mata. Ia adalah pendekatan saintifik dan strategik yang berteraskan data serta sokongan akar umbi untuk memastikan setiap undi diperoleh secara tersusun dan terancang,” tegasnya.

Beliau turut menekankan bahawa kemenangan parti bukan bergantung kepada populariti semata-mata, tetapi hasil daripada kerja kuat, strategi tersusun dan gerak kerja bersepadu daripada semua peringkat organisasi parti.

“Kita tidak boleh leka. Kemenangan tidak datang bergolek. UMNO Sabah mesti bangkit sebagai kekuatan utama dalam landskap politik negeri ini dan kami di Beaufort bersedia memikul tanggungjawab itu.”

 

Ujarnya, program yang menghimpunkan para pemimpin dan jentera UMNO di peringkat akar umbi ini menyaksikan penglibatan aktif dan semangat luar biasa yang ditunjukkan oleh setiap lapisan kepimpinan, termasuklah dari Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri.

“Ini merupakan antara langkah serius UMNO Sabah dalam mempersiapkan jentera parti menjelang PRN, sejajar dengan seruan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar parti memperkukuh jentera di semua peringkat demi memastikan kemenangan lebih besar kelak,” katanya lagi.

Terdahulu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah merasmikan Majlis Penutup kursus berkenaan yang turut dihadiri oleh Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan kepimpinan parti negeri terbabit. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79