Ketua UMNO Putatan Rasmi Penutupan Bengkel KEMAS, Ziarah Keluarga Berduka
PUTATAN, 3 Julai – Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed menyempurnakan penutupan Bengkel Kemahiran Keibubapaan Tabika/Tadika KEMAS Parlimen Putatan dalam satu majlis yang berlangsung tengah hari tadi.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Puan Flecia serta seluruh pasukan penganjur atas kejayaan menganjurkan program tersebut, yang disifatkannya sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh hubungan antara pendidik dan ibu bapa.
“Insya-Allah, dengan kekerapan pertemuan seperti ini, ia akan dapat menghasilkan komunikasi yang lebih positif antara guru dan ibu bapa demi manfaat anak-anak kita,” katanya.
Program anjuran KEMAS Parlimen Putatan itu bertujuan memberi pendedahan serta meningkatkan kemahiran keibubapaan dalam kalangan peserta bagi menyokong perkembangan anak-anak di peringkat awal pendidikan.
Kemudiannya, Jeffery Nor turut meluangkan masa menziarahi beberapa keluarga di Kampung Sipanggil dan Petagas yang baru-baru ini kehilangan insan tersayang.
“Saya mendoakan agar mereka tabah menghadapi ujian ini dan semoga roh-roh insan yang telah pergi dicucuri rahmat,” tambah beliau.
Ujarnya, program seperti ini jelas mencerminkan komitmen UMNO Bahagian Putatan dalam mendekati masyarakat melalui pendekatan yang menyentuh aspek pendidikan, kekeluargaan dan kemasyarakatan. – UMNO Online