Semangat Kebersamaan DUN Jeram Padang Bukti Khidmat Demi Rakyat
JEMPOL, 3 Julai – Nilai kebersamaan dan keprihatinan terhadap nasib masyarakat terus menjadi nadi utama gerak kerja di peringkat akar umbi sebagaimana usaha membaiki bumbung rumah milik Puan Bariah Ahmad yang rosak dilanda ribut pada 25 Mei lalu berjaya dilaksana sepenuhnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang berganding bahu demi memastikan keluarga mangsa dapat kembali menjalani kehidupan dengan lebih selesa dan selamat.
Ujarnya, proses baikpulih tersebut disempurnakan hasil gerak kerja pantas yang digerakkan oleh pelbagai pihak termasuk Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rakyat (JKKR), Pejabat Daerah Jempol serta kepimpinan UMNO tempatan yang sentiasa konsisten tampil membantu rakyat.
“Apa yang berlaku ini menggambarkan bahawa kekuatan sebenar sesebuah komuniti terletak pada semangat kebersamaan, serta tindakan pantas tanpa mengira latar belakang. Dan saya amat menghargai usaha serta kesungguhan semua pihak yang menjadi penggerak utama dalam membantu rakyat secara langsung dan berterusan,” ujarnya.
Beliau menegaskan, sebagai pemimpin, amanah tergalas untuk terus memainkan peranan penting sebagai jambatan antara rakyat dan penyelesaian, dengan mengutamakan agenda kebajikan dan bukan semata-mata kepentingan politik.
“Apa yang pasti kepimpinan parti bukan hanya hadir semasa pilihan raya, tetapi turut berada di tengah-tengah rakyat setiap masa. Kita menyantuni rakyat dengan ikhlas, menyelesaikan masalah mereka tanpa mengira masa atau musim. Itulah wajah sebenar perjuangan hari ini iaitu khidmat untuk semua,” tegas beliau.
Jelasnya, pendekatan turun padang, menyantuni rakyat serta menggerakkan tindakan secara bersama membuktikan aspirasi UMNO kekal relevan sebagai parti yang memahami denyut nadi rakyat dan komited membela nasib mereka tanpa syarat.
Dalam masa sama, Mohd Zaidy menyeru agar semangat muafakat dan keprihatinan ini terus diperkukuhkan dalam kalangan masyarakat.
“Apa yang kita laksanakan ini bukan hanya untuk menyelesaikan satu kes. Ia adalah simbol kepada semangat perpaduan, kasih sayang sesama insan, dan bukti bahawa apabila kita bersatu hati, tiada cabaran yang tidak mampu kita atasi bersama.”
Beliau turut berharap semangat yang ditunjukkan oleh UMNO, JPKK, JKKR serta agensi-agensi tempatan dapat dijadikan contoh kepada semua pihak di bawah DUN Jeram Padang.
“Insya-Allah, dengan semangat dan iltizam seperti ini, kita akan terus memperjuangkan kesejahteraan masyarakat tanpa mengenal lelah,” katanya lagi. – UMNO Online