‘Pas Pahang Jangan Kamu Bermimpi Di Siang Hari’ – Ramli

KUALA LUMPUR, 3 Julai – Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Dr Ramli Mohd Nor menyifatkan hasrat Pas untuk merampas Pahang sebagai mimpi di siang hari.

Menurut beliau ia ekoran kenyataan pemimpin Pas yang mahu merampas beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk Jelai yang merupakan kawasan diwakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Laporan media yang menyebut bahawa Pas Pahang bermatlamat untuk mengambil DUN Jelai. Bila menyentuh kawasan Parlimen yang saya tadbir dan terutama sekali kawasan Tok Wan tentu saya sensitif.

“Sebagai nasihat kepada mereka, kalau rasa hendak ambil Pahang ini pun saya rasa mimpi sahaja,” katanya menerusi satu hantaran video di Facebook.

Ramli dalam pada itu percaya dengan sokongan masyarakat Orang Asli di kawasan ini kekal menyokong kepimpinan UMNO/BN.

Menurut beliau ia berdasarkan khidmat bakti diberikan Wan Rosdy kepada masyarakat di sini.

“Pada 1 Jun di kawasan Parlimen Cameron Highland termasuk juga DUN Jelai pengundi Melayu 14,698 manakala Orang Asli 14,775. Dijangkakan dalam tempoh dua tahun iaitu ke 2027 pengundi Orang Asli ini akan meningkat ke 17,000.

“Jadi kepada mereka yang bercadang nak ambil DUN Jelai ini sebagai kemenangan bagi Pas tu, mimpi di siang hari kerana masyarakat Orang Asli tidak akan lari daripada BN.

“Kita tahu Tok Wan jaga masyarakat Orang Asli ini begitu mantap kita akan tetap hargai beliau. Oleh itu jangan senang terpedaya dengan persepsi, janji oleh pembangkang,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79