Malaysia-Itali Perkukuh Hubungan Dagang Melalui Sesi Meja Bulat – Mohamad
KUALA LUMPUR, 3 Julai – Malaysia dan Itali memperkukuhkan hubungan dagang melalui Sesi Meja Bulat Perkongsian Ekonomi Malaysia-Itali yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan bahawa lebih 100 buah syarikat dari kedua-dua buah negara telah mengambil bahagian dalam sesi tersebut.
“Dalam rangka lawatan kerja ke Republik Itali, saya turut menghadiri sesi Malaysia-Italy Economic Partnership Roundtable ataupun Sesi Meja Bulat Perkongsian Ekonomi Malaysia-Itali yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia bersama TYT Antonio Tajani, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Republik Itali.
“Lebih 100 syarikat dari kedua-dua negara mengambil bahagian, merangkumi sektor pembuatan, perkhidmatan, perdagangan dan agensi serta pertubuhan industri.
“Kehadiran ini menggambarkan iltizam bersama dalam memperkukuh hubungan dagang serta membuka ruang pelaburan strategik yang lebih luas antara Malaysia dan Itali,” katanya.
Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO terdahulu memaklumkan beliau telah mengiringi Perdana Menteri untuk menerima kunjungan hormat daripada Antonio.
“Hari kedua lawatan di mulakan dengan pertemuan berasingan bersama tiga buah syarikat utama di Itali iaitu, Fincantieri, Leonardo dan ENI, sebelum menerima kunjungan hormat TYT Antonio Tajani, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Itali.
“Seterusnya, saya mengiringi Datuk Seri Anwar bin Ibrahim untuk menerima kunjungan hormat daripada TYT Antonio Tajani,” katanya lagi.
Untuk rekod, delegasi Malaysia yang diketuai oleh Perdana Menteri telah berlepas berlepas ke Itali untuk lawatan kerja selama tiga hari sebagai sebahagian usaha memperkukuh hubungan kedua-dua negara.
Ia lawatan sulung Perdana Menteri ke negara itu atas jemputan rakan sejawatnya, Giorgia Meloni.
Turut mengiringi beliau ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Turut serta delegasi perniagaan termasuk daripada Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Khazanah, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Maybank, FGV Holdings Berhad (FGV) dan Weststar Aviation Sdn Bhd.
Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, pertemuan itu memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk menilai perkembangan hubungan Malaysia-Itali serta meneroka peluang kerjasama baharu, khususnya dalam bidang ekonomi, teknologi pertahanan dan tenaga. – UMNO Online