Abe Din Terus Khidmat Bakti Di Galas, Santuni Pelajar

KUALA LUMPUR, 3 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim meneruskan politik khidmat bakti beliau kepada rakyat di kawasan ini.

Terbaharu beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang berbesar hati merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Aring yang diadakan semalam.

“Alhamdulillah, penuh dewan meskipun hujan lebat sewaktu merasmikan Mesyuarat Agung PIBG SK Aring yang dipengerusikan oleh Mohd Norfazly Mohd Daud bersama Cikgu Zubir Guru Besar, dua figura yang tekun memacu kecemerlangan pendidikan di pedalaman. Syabas SK Aring!

“Kejayaan anak-anak bukan kebetulan. Ia lahir dari pengorbanan para guru, kepercayaan ibu bapa, dan semangat pelajar yang tak kenal jemu.

“Abe Din percaya apabila guru memberi arah yang jelas, murid akan menemui jalan yang terang. Teruslah menyalakan obor ilmu… dari Aring, sinarnya boleh menjulang ke seluruh negeri. Terus Melakar Kecemerlangan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Syahbuddin dalam pada itu turut sama mengadakan pertemuan dengan anak-anak Galas yang mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

Beliau pada ucapannya menitipkan pesanan kepada mereka untuk belajar sebaiknya demi masa hadapan yang lebih baik.

“Selamat Maju Jaya, Pewaris Harapan! Syabas dan setinggi-tinggi tahniah buat anak-anak Galas yang berjaya melangkah ke alam pengajian tinggi sama ada di kolej, politeknik atau universiti. Abe Din percaya, anak-anak Galas bukan calang-calang.

“Di balik wajah jernih kalian, tersimpan cita-cita besar dan semangat juang yang luar biasa. Tolong jaga nama baik kampung halaman. Tolong ingat, bukan semua orang dapat peluang seperti kalian.

“Belajarlah bersungguh-sungguh, bina jaringan, cari pengalaman… dan pulanglah nanti dengan ilmu serta semangat untuk membina tanah tumpah darah ini.

“Abe Din bangga dengan kalian. Bukan kerana siapa kalian sekarang, tapi kerana siapa kalian bakal jadi,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79