MUU Cadang Anjur Multaqa’ Ulama Pada Perhimpunan Agung UMNO

KUALA LUMPUR, 2 Julai – Majlis Ulama UMNO (MUU) bercadang untuk menganjurkan Multaqa’ Ulama dan ilmuan UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO yang akan berlangsung pada bulan November ini.

Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dusuki Ahmad berkata, Multaqa’ Ulama UMNO diadakan dengan tujuan untuk menambah keyakinan para penyokong dan ahli bahawa UMNO adalah parti umat Islam terbesar.

“Alhamdulilah hari ini MUU bersama dengan Biro Agama UMNO telah mengadakan mesyuarat pada kali yang kedua pada tahun ini. Di antara keputusan yang dipersetujui ialah cadangan untuk mengadakan Multaqa’ Ulama dan ilmuan UMNO sempena Perhimpunan Agung yang akan berlangsung pada bulan November ini.

“Multaqa’ Ulama UMNO ini adalah kali pertama diadakan. Tujuannya adalah untuk menambahkan lagi keyakinan ahli-ahli dan para penyokong UMNO bahawa ini adalah satu parti umat Islam yang terbesar dan perjuangannya selaras dengan maqasid syariah,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, Multaqa’ Ulama UMNO itu juga diadakan untuk menjelaskan dan menerangkan kepada rakyat bahawa meletakkan politik dalam rangka akidah itu adalah sesuatu perkara yang berbahaya.

“Kedua, untuk menyedarkan bahawa perjuangan Islam dalam politik UMNO adalah bersifat amali, syarie dan berpaksikan kepada realiti. Konsepnya selaras dengan tuntutan ibadah dalam Islam.

“Kita juga nak menjelaskan dan menerangkan kepada rakyat seluruhnya bahawa politik bukanlah perkara akidah dan usul dalam beragama. Meletakkan politik dalam rangka akidah ialah satu bahaya yang paling besar, boleh membawa kepada taksub dan takfir.

“Apa yang berlaku takfir selama ini seperti tuduh-menuduh, kafir-mengkafir dan sebagainya adalah kesan daripada sikap mengakidahkan parti politik. Insya-Allah program kita ini akan berjalan dengan sempurna,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79