Perkemaskan Saf, Kuatkan Tekad – Nazifuddin

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib meluahkan rasa terharu dengan sambutan hangat serta semangat luar biasa yang ditunjukkan oleh barisan Pemuda UMNO Terengganu.

Dalam satu hantaran di Facebook, beliau menzahirkan penghargaan atas komitmen anak-anak muda UMNO bukan sahaja hadir secara fizikal, tetapi menunjukkan kesiapsiagaan untuk bangkit dan menyusun gerak kerja dengan lebih tersusun.

“Saya benar-benar terharu dengan sambutan hangat dan semangat luar biasa yang ditunjukkan oleh barisan Pemuda UMNO Terengganu.

“Melihat wajah-wajah anak muda di sini, saya yakin mereka bukan sekadar hadir, tetapi bersedia bangkit, menyusun gerak kerja dengan matlamat yang jelas.

“Perjuangan ini bukan milik individu. Ia milik kita bersama. Insya-Allah, kita teruskan langkah ini dengan hikmah, dengan semangat, dan dengan keikhlasan,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu di Dewan Datuk Abu Bakar Daud, Kuala Terengganu, Khamis.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi, Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Armi Irzan Mohd dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera.

Hadir sama Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Ahmad Salahuddin Mustapa dan akar umbi Pemuda UMNO bahagian Kuala Terengganu.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Langkawi menambah, persidangan yang berlangsung bukan sekadar rutin biasa, sebaliknya satu medan untuk memperkukuhkan dan memperjelaskan perjuangan sayap Pemuda UMNO ini.

“Malam ini kita bukan sekadar berhimpun, tapi kita perkemaskan saf, kita kuatkan tekad dan kita gerakkan Pemuda dengan cara kita.

“Terima kasih Terengganu. Kita pacu perubahan… dari pemuda, untuk rakyat,” tegasnya.

Persidangan bahagian UMNO di semua peringkat bermula 9 Jun lalu hingga 27 Julai ini dan menyusul kemudian Perhimpunan Agung UMNO pada 26 November hingga 29 November 2025.UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79