Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat Melaka Beri Impak Positif – ADUN Sg Rambai

JASIN, 4 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai Siti Faizah Abdul Azis berkata Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang diilhamkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh adalah satu inisiatif kerajaan negeri yang banyak memberi impak positif.

Kata Siti Faizah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Jasin, program sedemikian memberi peluang kepada wakil rakyat kawasan dan agensi kerajaan bersama turun padang dan seterusnya lebih dekat kepada rakyat di samping membantu menyelesaikan permasalahan yang timbul.

“Saya bersyukur Ketua Menteri Melaka ini memang kuat kerja. Bila beliau mewujudkan satu program Wakil Rakyat Untuk Rakyat di mana gabungan pemimpin dengan agensi turun berjumpa dengan masyarakat di bawah.

“Ini satu impak yang sangat baik dan besar kepada pemimpin dan agensi itu sendiri di mana rakyat nampak peluang-peluang yang ada pada agensi dan apa usaha-usaha pemimpin buat,” katanya ketika ditemui UMNO Online baru-baru ini di sini.

Merujuk kepada program terkini WRUR iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, jelasnya lagi, ia merupakan satu usaha kerajaan negeri memberikan maklumat yang tepat kepada rakyat .

“DUN Bemban adalah yang kelima telah dibuat dan pertama Jasin di mana Exco (kerajaan negeri) dan timbalan dan juga pemimpin-pemimpin setempat turun padang bersama kita beritahu kepada masyarakat apa sebenarnya Kerajaan Negeri Melaka buat.

“Saya sangat berterima kasih dengan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka, idea ini sangat baik kerana selama ini kita sentiasa dimomokkan dengan pelbagai tanggapan negatif terhadap agensi kerajaan sukar berurusan, pemimpin tidak turun padang. Bila ada sahaja program-program di kawasan setempat yang kita anjurkan, barulah masyarakat tahu,” katanya.

Program WRUR yang bermula tahun ini merupakan satu inisiatif Melaka dalam merakyatkan pentadbiran kerajaan negeri.

Ia menerusi kaedah turun padang melibatkan semua Exco, Timbalan Exco, wakil rakyat, ketua jabatan dan agensi dalam mendengar rintihan, denyut nadi dan segala keperluan rakyat yang kemudian diselesaikan mengikut kaedah pentadbiran kerajaan.

Program WRUR sebelum ini telah dijalankan di DUN Kuala Linggi, Pengkalan Batu, Lendu dan Sungai Udang dan berlangsung dalam jangka masa dua minggu.

Seterusnya ujar Siti Faizah, Ketua Menteri juga telah menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi setiap DUN.

“Setiap DUN sekurang-kurangnya seratus program yang kita kena buat bersama dengan agensi. Alhamdulillah sebagaimana berlangsung di DUN Bemban, wakil-wakil rakyat di dalam Parlimen itu sendiri akan jaga Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan menyelesaikan masalah serta apa yang perlu ditambah baik,” katanya.

Justeru katanya, inisiatif tersebut juga telah menunjukkan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) khususnya di Melaka kini sentiasa mendahului kepentingan rakyat baik dari segi kebajikan, kesihatan, pendidikan dan sebagainya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79