Program Rumah Kasih Johor Terus Diperkasa, Progresif Demi Rakyat – Mohd Jafni
JOHOR BAHRU, 2 Julai – Kerajaan Negeri Johor terus komited memastikan rakyat yang memerlukan mendapat tempat tinggal selesa melalui pelaksanaan Program Rumah Kasih Johor (RKJ) yang kini berjalan dengan lebih sistematik dan berhemah.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan RKJ yang melibatkan sesi pembentangan calon penerima oleh tujuh Pejabat Daerah kepada Jawatankuasa Pemilihan Negeri. Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor bertindak selaku urus setia mesyuarat tersebut.
Menurutnya, mesyuarat ini mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan proses pemilihan penerima rumah percuma dibuat secara adil dan telus berdasarkan keperluan sebenar rakyat.
“Proses pemilihan yang dijalankan ini bukan bersifat administratif semata-mata, tetapi diteliti dengan empati dan amanah agar rumah yang diberi benar-benar menjadi sinar buat mereka yang terpinggir,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Jelasnya, antara Pejabat Daerah yang terlibat dalam pembentangan tersebut ialah Batu Pahat, Mersing, Kota Tinggi, Kulai, Pontian, Johor Bahru dan Kluang sementara kawasan DUN yang terlibat pula termasuk Machap, Kota Iskandar, Johor Jaya, Tiram, Mahkota, Mengkibol, Paloh, Tenggaroh, Semarang, Seri Medan, Pekan Nenas, Panti, Pasir Raja, Johor Lama, Layang-Layang, Kahang, Penawar dan Kukup.
Mohd Jafni menegaskan bahawa setiap keputusan dibuat secara konsensus dengan mengambil kira kriteria ketat yang ditetapkan, namun dalam masa sama tetap diteliti dengan penuh empati agar manfaat tersebut sampai kepada rakyat yang benar-benar layak.
“Secara keseluruhannya, seramai 55 calon telah dibentangkan dalam mesyuarat ini. Daripada jumlah tersebut, 36 calon disokong, 18 ditolak, manakala 1 calon ditangguh (KIV) untuk penelitian lanjut.
“Setiap keputusan dibuat secara konsensus dan berdasarkan kriteria yang ketat supaya hanya yang benar-benar layak menerima manfaat RKJ ini. Kita percaya, setiap rumah yang diberikan bukan sekadar tempat berteduh, tetapi simbol maruah, harapan dan kehidupan yang lebih bermakna.
Beliau yang juga ADUN Bukit Permai merangkap Ketua UMNO Bahagian Kulai turut memaklumkan bahawa sehingga kini pelaksanaan Program RKJ menunjukkan perkembangan sangat positif.
“Bagi tahun 2023, sebanyak 50 unit rumah bernilai RM6.5 juta telah siap sepenuhnya dan diserahkan kepada penerima. Bagi tahun 2024, sebanyak 120 unit sedang dalam pembinaan dengan kos keseluruhan berjumlah RM17 juta.
“Fasa pertama melibatkan 71 unit yang telah siap pada Jun 2025, manakala Fasa kedua melibatkan 49 unit yang dijangka siap pada Disember 2025. Manakala bagi tahun 2025, sebanyak 165 unit rumah dengan nilai RM22 juta kini berada dalam proses siasatan teknikal dan lawatan tapak.
“Pembinaan fasa pertama telah bermula pada 15 Mei 2025 lalu.
Beliau juga menegaskan, di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, program RKJ akan terus diperkasakan secara progresif demi menjadikan Johor sebagai negeri paling sejahtera dan inklusif menjelang tahun 2030.
“Rumah yang diberikan ini bukan hanya sekadar tempat berteduh, tetapi simbol maruah, harapan dan kehidupan yang lebih bermakna buat mereka yang memerlukan,” katanya.
Dalam masa yang sama Mohd Jafni turut menghargai kehadiran ADUN Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad dan ADUN Penawar, Fauziah Misri yang menyerlahkan komitmen bersama bagi memastikan tiada rakyat terpinggir daripada perhatian kerajaan. – UMNO Online